Manusia melawan kematian
Mengikut buku "Genesis" umur manusia menjadi kurang 100 tahun selepas berlaku banjir besar sewaktu zaman Nabi Nuh a.s. Sebelum tahun 3,500 SM, majoriti manusia yang berasal daripada keturunan Nabi Adam a.s berumur melebihi 100 tahun sebelum menemui ajal. Akibatnya, manusia selepas zaman Nabi Nuh a.s telah mula mencari ubat-ubatan untuk hidup abadi dalam melawan penyakit dan penuaan.
Maka bermulanya ilmu perubatan dari Timur Tengah lalu disebarkan ke Asia Timur dan Asia Selatan dengan menggunakan herba dan tumbuhan dalam merawat penyakit dan penuaan usia.
Cuma dalam zaman revolusi industri bermula 1,600 Masihi di Barat, barulah dunia perubatan berubah dari herba dan tumbuhan kepada bahan kimia dalam merawat penyakit yang disebabkan oleh bakteria. Penemuan Robert Koch yang dapat membezakan antara penyakit bakteria dan bukan bakteria menjadi penyebab dunia perubatan bertukar kepada fasa dua iaitu perawatan berdasarkan kategori bakteria yang menyebabkan penyakit.
Bermula abad ke-20, penemuan demi penemuan penyakit yang disebabkan virus dan lain-lain oleh saintis perubatan. Penemuan vaksin telah mengubah populasi manusia apabila bilangan bayi yang dilahirkan dapat dipertingkatkan usianya. Ini disebabkan sebelum tahun 60-an, kebanyakan keluarga tidak mempunyai peluang untuk melihat bayi yang dilahirkan berumur melebihi 20 tahun. Secara puratanya, hanya tiga daripada lapan bayi dilahirkan sempat hidup sehingga melebihi usia 50 tahun.
Melalui penemuan vaksin dan ubat-ubatan fasa ketiga dalam tahun 70-an, barulah manusia berjaya mengurangkan kematian bayi dan meningkatkan usia kanak-kanak sehingga menjadi dewasa.
Akhirnya, manusia mula mengagungkan sains dan teknologi sehingga melebihi kehidupan beragama. Pergerakan feminisma dan liberalisma kehidupan semakin mendapat tempat apabila manusia bukan sahaja menemui rahsia melawan penyakit dan memanjangkan kadar hayat dari 50 tahun kepada 70 tahun, tetapi juga melawan kematian dan hidup abadi. Salah satu teknologi yang bakal mengubah peradaban manusia untuk hidup abadi adalah teknologi sintesis DNA.
Projek sintesis DNA bertujuan mencari punca penyakit dan mencegah penyakit berlaku seperti kanser, sakit jantung, darah tinggi, diabetis dan lain-lain. Objektif utama sintesis DNA ada mereplika DNA lalu digunakan untuk mengesani penyakit genetik dan penyakit-penyakit yang bakal berlaku. Melalui cara ini dunia perubatan akan berubah menjadi kaedah rawatan perubatan personal dan bukan lagi menyasarkan rawatan mengikut kategori penyakit atau jenis kuman.
Rawatan tradisional bakal ditinggalkan apabila dijangka dalam masa 40 tahun akan datang dunia perubatan tidak lagi merawat secara konvensional seperti penggunaan antibiotik dan lain-lain ubat-ubatan. Apa yang menarik ialah teknologi sintesis DNA ini juga digunakan untuk memperbaiki kecacatan sel, sama ada sel induk atau sel-sel bukan induk. Melalui pendekatan ini satu genomen baharu akan terhasil bagi melahirkan manusia yang hampir 99% sempurna tiada kecacatan sel atau tiada bawaan penyakit genetik.
Seterusnya sintesis DNA mampu melawan kematian manusia dengan mengurangkan tempoh masa penuaan sel. Atau memanjangkan usia sel seperti sel otak, sel kulit dan lain-lain. Peratus kejayaan memanjangkan usia sel bakal memanjangkan umur kadar hayat manusia secara purata 70 tahun kepada 150 tahun. Ini menandakan kelahiran manusia bakal dikurangkan jika usia manusia mencecah 150 tahun.
Ini boleh dibuktikan kepada usia Nabi-nabi terdahulu yang mampu hidup melebihi ratusan tahun. Seperti yang kita tahu, Nabi Adam dan Hawa tinggal di syurga selama 19 juta tahun dalam buku "Urantia" dan disokong oleh para sarjana teologi Kristian. Nabi Adam dan Hawa diturunkan ke bumi sekitar 5,000 SM dan hidup selama 1,000 tahun lebih sebelum meninggal dunia. Ini menunjukkan manusia mampu hidup lama dengan kaedah sintesis DNA.
Jika dakwaaan ini benar-benar wujud dan proses masa untuk kemajuan teknologi proses sintesis DNA dipercepatkan dengan pengurangan masa menunggu dari 40 tahun kepada 15 tahun akan datang, bermakna sekitar 2030-an Masihi, teknologi ini bakal mengubah dunia kehidupan manusia.
Akhir sekali, jika proses ini berjaya. Adakah agama yang meletakkan kepercayaan kepada Tuhan masih relevan. Atau manusia semakin melupai Tuhan dan menganggap sains itu lebih suci dan pencipta sains sintesis DNA dianggap Tuhan nanti.
* Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM Kelantan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!