'Made in Johor' akan diperkenalkan
ISKANDAR PUTERI - Kerajaan negeri akan menambah nilai eksport produk pertanian ke luar negara khususnya Singapura dengan memperkenalkan penjenamaan baharu Made in Johor.
Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, tambah nilai tersebut melibatkan aspek pemprosesan, pembungkusan, keselamatan, kualiti dan penjenamaan produk pertanian.
"Usaha penjenamaan ini akan dirintis menerusi kerjasama awam swasta (PPP) dan agensi persekutuan, Pembangunan Pusat Pemprosesan, Pembungkusan, Penjenamaan dan Pemasaran Negeri Johor yang dilengkapi dengan platform Agricultural Export Center (AE Center).
"Ia bagi proses persijilan dan kelulusan daripada jabatan di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dapat dijayakan," katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan dikemukakan Dr Faizul Amri Adnan (PH-Serom), K Raven (BN-Tenggaroh) dan Abd Taib Abu Bakar (BN-Machap) mengenai isu pengurangan dan penjanaan hasil baharu pada sesi Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar di sini hari ini.
Hasni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN) Benut menambah, AE Center ini juga akan menjadi pusat, keselamatan dan kualiti makanan menurut piawaian antarabangsa, penjenamaan dan akses kepada pasaran pertanian dunia.
"Sebagai contoh, semua produk eksport pertanian ke Singapura ditambah nilai daripada segi pemprosesan, pembungkusan, keselamatan, kualiti dan penjenamaan Made in Johor menjadi pilihan baharu rakyat Singapura dan antarabangsa.
"Kerajaan negeri yakin penglibatan kerajaan Persekutuan, pihak swasta, pihak pelabur strategik, usaha pembangunan AE Center produk pertanian eksport dapat direalisasikan," katanya.
Dalam pada itu Hasni menjelaskan sebanyak 970,000 tan metrik produk pertanian segar atau dianggarkan bernilai RM 1.19 bilion seperti buah-buahan, ayam hidup, ikan segar, daging melalui Tambak Johor dihantar ke Singapura pada tahun lepas.
Katanya, walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19, penghantaran produk pertanian segar berjumlah hampir 350,000 tan metrik dengan nilai jumlah RM 1.48 bilion pada suku kedua 2020.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!