Hadi perjelas perbandingan hukuman arak, rasuah

Abdul Hadi Awang
Abdul Hadi Awang
A
A
A

SHAH ALAM - Arak dan rasuah masing-masing berbahaya serta haram di sisi Islam, namun berbeza pada cara, pendekatan dan hukuman.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, Islam mengharamkan perbuatan rasuah dengan nas yang nyata dalam al-Quran dan hadis selain diharamkan oleh semua agama tanpa pengecualian.

Menurutnya, Islam membenarkan kepada penganut agama lain yang menghalalkan arak kerana kebebasan individu, hak diri dan kaum dengan syarat tidak mengganggu masyarakat sekeliling.

“Timbul persoalan mana yang lebih berbahaya antara kemudaratan arak dan rasuah.

“Jawapan kepada semua persoalan tersebut ialah kedua-duanya berbahaya, hanya terdapat perbezaan pada cara, pendekatan dan lapangan sahaja.

“Hukuman meminum arak dan rasuah juga berbeza. Apabila salah satunya diharamkan secara mutlak, maka tidak boleh kesalahan lain diberikan lesen untuk berjalan secara mutlak,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, kesalahan meminum arak termasuk dalam jenayah hudud khusus untuk penganut Islam dan hukuman itu tidak boleh dikenakan ke atas penganut agama lain.

Abdul Hadi berkata, kesalahan rasuah pula termasuk dalam hukuman takzir dengan mengikut kebijaksanaan pemerintah sama ada dijatuhkan hukuman penjara, sebatan, buang daerah, dirampas harta atau bunuh kerana mengambil kira perbezaan keadaan pelaku dan tahapnya.

Artikel Berkaitan:

“Bukan seperti hukuman undang-undang manusia pada hari ini yang sekadar penjara, hukuman denda atau dirampas harta.

“Apabila dijatuhkan hukuman takzir iaitu sebatan, maka tidak dibezakan antara jerung dan ikan bilis. Namun jika dikenakan hukuman penjara, akan ada perbezaan antara penjara VIP (golongan kelas atasan) dengan penjara kelas rendah.

“Apabila berlaku kebocoran tingkah laku dalam kawalan sehingga masalah itu berleluasa dan mengakibatkan kemudaratan kepada umum, maka boleh dibuat peraturan atau undang-undang tambahan yang melibatkan penganut bukan Islam,” katanya.

Beliau berkata, penerima dan pemberi rasuah adalah berdosa besar seperti mana disebut dalam al-Quran serta Hadis dengan hukuman di dunia dan akhirat.

Katanya, wujud perbezaan antara hukum Islam yang mempunyai roh akidah tersendiri berbanding undang-undang ciptaan manusia.

“Apabila telah mendapat hukuman di dunia mengikut hukum Islam, maka tidak akan dihukum sekali lagi di alam barzakh dan ketika dihidupkan semula di hari akhirat.

“Sebaliknya jika terlepas daripada hukuman dunia dengan pelbagai helah, maka tetap akan dihukum di akhirat sekiranya tidak bertaubat,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!