Shell buka peluang usahawan tempatan
KUALA LUMPUR - Membuka peluang kepada usahawan tempatan menjadi aspirasi Shell Malaysia menerusi Inisiatif Realisasi Impianmu Bersama Shell yang dilancarkan pada Ogos lalu.
Pengarah Urusan Shell Malaysia Trading Sdn Bhd dan Shell Timur Sdn Bhd, Shairan Huzani Husain berkata, Inisiatif Realisasi Impianmu Bersama Shell bakal menjadikan enam syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menempatkan produk mereka di lebih 600 kedai Shell SELECT di seluruh negara.
"Enam PKS yang terpilih itu sebagai salah satu usaha memberi sokongan kepada mereka untuk mengembangkan perniagaan ketika berdepan cabaran ekonomi semasa.
"Peringkat awal kita hanya memilih tiga pemenang sahaja, namun sebagai langkah bagi membolehkan lebih banyak PKS menerima manfaat inisiatif ini, kita telah menambah tiga lagi pemenang menjadikan keseluruhannya enam pemenang," katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengumumkan nama PKS itu secara maya menerusi siaran langsung di YouTube semalam.
Katanya, pemilihan ini diharap dapat memanfaatkan PKS berkenaan serta membolehkan pelanggan Shell menikmati kepelbagaian produk berkualiti keluaran PKS tempatan.
"Menerusi proses penilaian yang ketat, kita akhirnya memilih enam PKS sebagai pemenang utama di mana selain menempatkan produk mereka di Shell SELECT, pemenang utama juga akan diberikan sokongan dari segi pemasaran, pembungkusan dan logistik.
"Penyertaan yang diterima amat menggalakkan di mana lebih 300 PKS menyertainya menyebabkan kami memikirkan perlunya peluang sebegini disediakan kepada lebih ramai PKS apa lagi dengan impak pandemik Covid-19 terhadap perniagaan ketika ini," katanya.
Menurutnya, selain itu seramai 23 lagi PKS juga berpeluang menempatkan produk mereka di kedai Shell SELECT terpilih di seluruh negara.
"Sekaligus ini dapat membantu PKS mengembangkan perniagaan mereka dan masa sama ini antara peranan yang perlu dimainkan Shell.
Dalam pada itu, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata inisiatif dijalankan Shell Malaysia bukan saja akan menjana pendapatan lebih baik buat PKS terbabit.
"Inisiatif Shell Malaysia itu sedikit sebanyak membantu kerajaan mengurangkan impak ekonomi semasa menerusi sokongan terhadap PKS.
"Selain itu apa yang dijalankan ini dapat membuka lebih banyak peluang lain buat mereka untuk meningkatkan lagi perniagaan seterusnya memulihkan kembali ekonomi kita," katanya.
Jelasnya, berdasarkan kaji selidik SME Corp, kira-kira 73 peratus PKS dijangka mengalami kerugian pada tahun ini kesan daripada penularan wabak Covid-19.
"Situasi semasa Covid-19 tidak menghalang sesiapa saja untuk menceburi bidang perniagaan tetapi perlulah mengikut platform yang betul dan bersesuaian.
"Berdasarkan data Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pula, sebanyak 82,555 perniagaan baharu didaftarkan sepanjang 1 April hingga 19 Julai 2020," katanya.
Terdahulu, enam PKS yang terlibat dalam Inisiatif Realisasi Impianmu Bersama Shell adalah Big Why Enterprise dengan produk Aiskrim Malaysia IKAT, Binarich Enterprise (Salis Pop Rice), I ON Enterprise (Ready-To-Eat Murtabak), Kincirmas Sdn Bhd (teh), Meals in Minutes Sdn Bhd (Ready-To-Eat Burger) dan Rompin Integrated Pineapple Industries Sdn Bhd (jus nanas).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!