Isteri maut, suami dan tiga anak parah
MUAR - Seorang wanita maut manakala lima lagi cedera dalam kemalangan membabitkan dua buah kereta di Jalan Salleh, Simpang Parit Setongkat di sini awal pagi tadi.
Kejadian jam 2.07 pagi itu melibatkan dua kereta jenis Proton Exora dan Honda Accord.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Zaharudin Rasip berkata, mangsa, Nor Aina Farahin Jai, 31, yang duduk di bahagian penumpang hadapan kereta Proton Exora maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan.
Menurutnya, pemandu yang merupakan suami mangsa, Muhammad Alliashia Othman, 37, dan anak tirinya, Alif Siraj Abdullah, 3, Alif Farahin Abdullah, 7, dan Aliya Farhana Abdullah, 10, masing-masing duduk di tempat duduk penumpang belakang cedera parah di kepala.
"Keluarga berkenaan dalam perjalanan menghala ke Pagoh dan sebaik tiba di lokasi kejadian sebuah kereta jenis Honda Accord yang datang dari arah sebelah kanan secara tiba-tiba keluar dari persimpangan Parit Setongkat menuju ke Jalan Salleh.
"Kereta Honda Accord yang dipandu Ong Chun Chuan, 49, merempuh kereta dinaiki lima beranak itu sehingga menyebabkannya hilang kawalan sebelum terbabas ke kiri jalan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini.
Zaharudin berkata, Chun Chuan mengalami kecederaan retak tulang kaki dan sehingga kini masih tidak sedarkan diri.
"Semua mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini untuk diberikan rawatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.
Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Muar, Pegawai Bomba Kanan II Zuraimi Harun berkata, seramai 12 dari BBP Muar dikejarkan ke tempat kejadian.
Katanya, pihaknya mengeluarkan pasangan suami isteri itu dan seorang anaknya yang tersepit dalam kereta Proton Exora.
"Pegawai perubatan yang hadir mengesahkan wanita berkenaan telah meninggal dunia dan mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!