Pembela gesa PDRM, KDN perjelas kes Allahyarham Adib

Hantaran kenyataan Pembela di Facebook.
Hantaran kenyataan Pembela di Facebook.
A
A
A

SHAH ALAM - Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela) mendesak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk memberikan penjelasan lanjut terhadap perkembangan terkini tentang kes kematian pegawai bomba, Allahyarham Muhammad Adib Kassim.

Pengerusinya, Aminuddin Yahaya berkata, mereka sedia maklum kenyataan media keluarga Allahyarham Adib bertarikh 26 November 2020 yang kecewa dengan pihak berkaitan gagal mengambil tindakan sewajarnya untuk membela kematiannya sempena genap dua tahun peristiwa rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya.

Menurutnya, Pembela memandang serius terhadap kegagalan pihak polis untuk berhubung dengan pihak keluarga dan memberitahu perkembangan terkini, walaupun peguam telah meminta polis segerakan siasatan selanjutnya untuk menangkap pembunuh-pembunuh tersebut.

Selain itu, Pembela juga mempersoalkan kewajaran untuk diadakan inkues semula yang telah dicadangkan.

“Penjelasan Menteri KDN menyatakan hanya 12 suspek didakwa di bawah Seksyen 143 Kanun Keseksaan adalah tidak munasabah kerana kes ini melibatkan kematian.

“Mengapakah tidak diambil tindakan tuntas setelah selesai dibuat inkues pertama?” katanya dalam sebuah hantaran di Facebook.

Dalam hantaran sama, Pembela memohon pihak Pejabat Peguam Negara agar tidak melengahkan kes ini terutamanya apabila mantan Peguam Negara, Tommy Thomas telah melakukan beberapa kesalahan besar yang tidak wajar sebagai seorang Peguam Negara.

“Pembela menuntut agar semua pihak yang terlibat agar telus dan jujur bagi menyelesaikan kes ini seadilnya untuk menjaga kewibawaan dan integriti pemerintah dan negara.

Artikel Berkaitan:

“Pembela akan terus bersama keluarga Allahyarham Adib agar arwah mendapat pembelaan yang sewajarnya,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!