Cadang tubuh Pusat Kulinari Negara di Jerantut

A
A
A

JERANTUT - Parlimen Jerantut bakal menjadi Pusat Kulinari Negara khususnya dalam pembuatan dan penghasilan pastri dan bakeri di Malaysia.

Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris berkata, cadangan untuk mewujudkan Pusat Kulinari Negara di Jerantut itu akan dikemukan kepada kerajaan dalam masa terdekat ini.

“Cadangan mewujudkan pusat kulinari ini timbul selepas lebih 350 peserta Kursus Profesional Seni Pastri dan Kursus Profesional Kulinari Kreatif menamatkan latihan dengan cemerlang dan jayanya.

“Kursus di bawah inisiatif untuk kumpulan B40 anjuran Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) yang berlangsung di Jerantut bermula pada 16 November dan berakhir pada 2 Disember ini berjaya melahirkan tenaga kerja mahir dan dinamik dalam pembuatan dan penghasilan pastri dan bakeri di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Perasmian Kursus Tahap 2 Sijil Profesional Kulinari Kreatif (Sesi 2) di Dewan Besar ADTEC, Jerantut.

Sebaik tamat latihan, peserta peserta mendapat pengiktirafan daripada London Examination Board (LEB) di United Kingdom.

Kursus turut dihadiri Timbalan Pengerusi PSMB, Datuk Ruhaidini Abd Kadir.

Tambahnya, objektif utama penubuhan Pusat Kulinari Negara di Jerantut adalah untuk memberi bimbingan dan tunjuk ajar serta menyuntik semangat lebih ramai rakyat Malaysia menjadikan bidang kulinari sebagai kerjaya pilihan.

Artikel Berkaitan:

“Usaha ini juga akan melahirkan lebih ramai usahawan pastri dan bakeri yang berdaya saing dan bertaraf dunia. Ia juga berpotensi untuk meningkatkan taraf ekonomi mereka.

“Sebaik tamat kursus ini, peserta bukan sahaja dapat menimba ilmu bahkan mampu menjadikan bidang ini sebagai satu kerjaya profesional,’’ katanya.

Ahmad Nazlan berkata, kursus anjuran PSMB yang dibimbing cef berpengalaman diketuai Mohammad Roizziddin Mohd Razalli merupakan pengasas Pastry Trainer Malaysia.

Dalam ucapannya, Nazlan turut melahirkan rasa bangga dengan kreativiti dan komitmen tinggi peserta yang membuktikan kemampuan dengan mengolah resipi mudah kepada persembahan kek dan pastri.

“Peserta telah membuktikan kebolehan dan kreativiti dalam memberi nilai tambah terhadap produk pastri dan bakeri yang mereka pernah hasilkan sebelum ini,’’ katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!