Amaran buat pemilik motosikal
MUAR - Penduduk di daerah ini diingatkan supaya tidak leka dan menjaga motosikal bagi mengelak kenderaan milik mereka dicuri.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Zaharudin Rasip berkata, kecurian kenderaan itu dilihat membimbangkan apabila menunjukkan peningkatan bagi laporan indeks tahunan Ibu Pejabat Daerah (IPD) Muar.
Menurut beliau, rata-rata kes diterima berpunca daripada kecuaian penunggang motosikal itu sendiri yang meninggalkan kunci di kenderaan berkenaan.
“Tahap kesedaran penunggang motosikal untuk meningkatkan keselamatan di kenderaan mereka dilihat masih lagi rendah.
"Kebanyakan laporan yang diterima IPD Muar berhubung kecurian itu adalah berpunca daripada kunci yang ditinggalkan di motosikal.
“Mereka harus sedar bahawa tindakan itu mengundang pencuri untuk melakukan kegiatan mereka,” katanya kepada Sinar Harian.
Zaharudin berkata, statistik kecurian motosikal tahun lalu merekodkan peningkatan iaitu sebanyak 25.69 peratus dengan 137 kes pada tahun lalu berbanding 109 kes pada 2017.
Justeru katanya, pencegahan jenayah ini adalah amat penting di mana ia harus bermula dengan kesedaran dan pengawasan tinggi dalam kalangan penduduk sendiri.
“Perlu pastikan apabila berhenti ke sesebuah tempat, kunci motosikal perlu diambil. Malah kita lebih menggalakkan untuk penunggang ini memasang kunci pendua di kenderaan terbabit.
“Kejadian ini pastinya boleh dikurangkan sekiranya semua pihak mengambil berat dengan tahap keselamatan harta benda masing-masing,” katanya.
Dalam pada itu, Zaharudin turut berkongsi kejayaan IPD Muar terhadap penurunan jenayah indeks secara keseluruhannya.
Katanya, indeks jenayah daerah pada tahun lalu mencatatkan penurunan sebanyak 1.68 peratus dengan 293 kes dilaporkan pada 2018 berbanding 298 kes pada 2017.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!