Awas belanjawan empat kementerian

Fahmi, Anthony Loke
Fahmi, Anthony Loke
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen pembangkang akan tetap dengan pendirian menolak beberapa peruntukkan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021 melibatkan empat kementerian utama sekiranya kerajaan gagal membahaskan keperluan dana terbabit di peringkat jawatankuasa kementerian masing-masing.

Kementerian berkenaan adalah Kementerian Kesihatan, Kementerian Perumahan dan Kajian Tempatan (KPKT), Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta Kementerian Pendidikan.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Mohamed Fadzil berkata, beliau menggesa peruntukan terhadap Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) yang dijenamakan semula sebagai Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia dan Penggerak Komuniti Tempatan (PeKT) di bawah KPKT berjumlah hampir RM100 juta, disalurkan kepada petugas barisan hadapan.

Ini kerana katanya, Belanjawan 2021 hanya memberi manfaat kepada Kementerian Kesihatan (KKM) dan bukannya barisan hadapan lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Malah katanya, peruntukan itu diibaratkan seperti berat sebelah kerana petugas barisan hadapan lain yang sama berjuang ketika negara berdepan dengan ancaman Covid-19 seperti dipinggirkan.

"Dalam pembentangan Belanjawan 2021, ia hanya memperuntukkan elaun khas kepada petugas barisan hadapan di bawah KKM.

"Bagaimana pula peruntukkan kepada mereka yang bukan kakitangan KKM seperti tukang cuci, PDRM? Golongan ini tak dapat elaun itu," katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Dalam Belanjawan 2021 yang dibentangkan Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz pada 6 November lalu, sebanyak RM85 juta diperuntukkan buat J-KOM manakala PeKT sebanyak RM8.6 juta.

Artikel Berkaitan:

Ketua Pembangkang yang juga Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim kemudiannya menggesa dua peruntukan itu dibatalkan kerana tidak mendatangkan manfaat buat rakyat.

Sementara itu, Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke Siew Fook yang juga Ketua Ahli Parlimen DAP berkata, selain menolak peruntukan terhadap J-KOM, DAP juga akan menolak pemotongan peruntukan untuk pelbagai jenis aliran sekolah dan isu-isu lain yang dibangkitkan oleh ahli Parlimen pembangkang.

"Kita akan membantah dan menolak peruntukan yang kita tidak setuju di peringkat jawatankuasa kementerian masing-masing. Contohnya, kita akan minta undi belah bahagi untuk tolak belanjawan Kementerian Komunikasi dan Multimedia kerana J-KOM merupakan agensi di bawah kementerian tersebut," katanya melalui kenyataan di Facebooknya.

Bagaimanapun perbahasan, penggulungan dan pengundian di peringkat jawatankuasa yang bermula hari ini menyaksikan pembangkang gagal mengekang dan menolak bajet peringkat jawatankuasa bagi Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan menerusi undi belah bahagi.

Hari ini tiga lagi kementerian akan mengambil tempat iaitu Kementerian Luar Negeri, Kementerian Perpaduan Negara dan Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!