Cavani penyerang sejati
PENYERANG Manchester United, Edinson Cavani membuktikan dirinya mampu memberikan impak kepada pasukan ketika membantu The Red Devils bangkit melakar kemenangan ke atas Southampton 3-2 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium St Mary kelmarin.
Pengendali United, Ole Gunnar Solskjaer berkata, tindakan membawa masuk penyerang Uruguay itu merupakan satu tindakan tepat menyuntik lebih tenaga di jentera serangan.
"Sudah tentu dia memberikan impak yang bagus. Dia adalah pemain nombor sembilan yang sentiasa bergerak dan berada tepat ketika di depan gol.
"Dia cukup sempurna ketika di sesi latihan, dalam bilik persalinan dan sebagainya. Dia seorang yang profesional dan saya gembira dengannya.
"Pergerakannya hebat dan dia sentiasa berada di tempat yang betul. Keazamannya untuk menyempurnakan situasi adalah kunci kepada seorang penyerang utama," katanya.
Dalam perlawanan tersebut, United terlebih dahulu ketinggalan menerusi Jan Bednarek dan James Ward Prowse pada separuh masa pertama.
Solskjaer bertindak memasukkan Cavani pada separuh masa kedua dan pemain itu menunjukkan impak dengan menyumbang asist untuk gol Bruno Fernandes pada minit ke-60 dan meledak dua gol pada minit ke-74 dan di penghujung perlawanan.
Dalam pada itu, Kapten United, Harry Maguire menyifatkan penyerang berusia 33 tahun itu adalah pemain yang amat sukar 'ditangani' dalam sesi latihan.
"Pergerakannya sangat cemerlang dalam kotak penalti. Dia adalah yang terbaik pernah saya hadapi dalam sesi latihan. Saya tahu apa yang dia boleh bawa untuk kelab.
"Sangat penting untuk dia kembali mendapat rentak dan saya percaya dia mampu menjadi penyerang sejati di kelab ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!