Kanak-kanak OKU ditemukan lemas
ALOR SETAR - Kanak-kanak perempuan orang kurang upaya (OKU) yang dipercayai terjatuh ke dalam Sungai Sedim di Kampung Bikan Atas Labu Besar, Kulim petang semalam ditemukan lemas pada jam 7.50 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Azhar Hashim berkata, mayat mangsa, Irdina Aleesya Zamri, 8, berjaya ditemukan kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Menurutnya, mayat mangsa telah dibawa naik ke atas tebing sungai oleh anggota JBPM dan kemudiannya dibawa ke Hospital Kulim untuk proses bedah siasat.
"Ibu mangsa menyedari mangsa tiada di rumah pada jam 6 petang semalam sebelum keluar mencari mangsa bersama beberapa ahli keluarga yang lain di sekitar kawasan rumah sehingga ke Sungai Sedim yang terletak kurang 100 meter dari rumah mereka.
"Ibu mangsa telah menjumpai selipar dan tuala milik mangsa di kawasan tebing sungai berkenaan dan mengesyaki anaknya telah jatuh ke dalam sungai. Polis telah menerima laporan kejadian pada jam 6.40 petang," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, anggotanya tiba di lokasi kejadian kira-kira jam 7.10 petang selepas menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 6.30 petang.
Menurutnya, operasi mencari mangsa telah dijalankan di permukaan air di kawasan tebing sungai sehingga jam 1 pagi sebelum ia ditangguhkan.
"Operasi dijalankan semula pagi ini dan mangsa ditemukan pada jam 7.50 pagi," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!