Insentif one-off atlet, jurulatih dan pegawai Sukma Johor
ISKANDAR PUTERI - Kerajaan negeri menerusi Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ) memperuntukkan insentif secara 'one-off' minimum RM500 kepada 1,173 atlet, jurulatih dan pegawai Kejohanan Sukan Malaysia (Sukma) Johor yang ditangguhkan.
Exco Pelancongan, Belia dan Sukan Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kerajaan negeri sememangnya prihatin dengan masa depan atlet-atlet Sukma yang telah berkorban masa, tenaga dan keringat untuk membuat persiapan menghadapi kejohanan dwi tahunan itu sejak 2018.
Katanya, berikutan penganjuran Sukma ditangguhkan kepada tahun 2022, segala kemudahan dan fasiliti-fasiliti sukan yang telah siap dibina akan dipastikan dijaga dan diselenggara dengan baik agar tidak menjadi projek gajah putih.
"Sebanyak RM6.45 juta telah diperuntukkan tahun hadapan bagi tujuan penyelenggaraan 39 venue-venue Sukma terdiri daripada 13 venue dibina baharu, 17 venue dinaik taraf dan sembilan venue sedia ada.
"Selain itu, venue-venue Sukma ini akan menjadi tempat latihan atlet-atlet Johor di bawah program MSNJ dan juga akan digunakan sebagai venue pertandingan tempatan pada tahun depan sehingga menjelang Sukma Johor 2022," katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan dikemukakan Mohd Khuzzan Abu Bakar (PH- Semerah), K Raven (BN- Tenggaroh) dan Osman Sapian (Bersatu- Kempas) mengenai Sukma Johor pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar, di sini hari ini.
Onn Hafiz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layang- layang turut memberitahu jumlah kos keseluruhan anjuran temasya Sukma Johor 2020 adalah sebanyak RM617.9 juta.
"Kos pembangunan infrastruktur dan kemudahan sukan bagi Sukma Johor 2020 berjumlah RM467.9 juta manakala kos pengurusan adalah RM150 juta.
"Daripada jumlah tersebut, RM142 juta telah diperuntukkan oleh kerajaan Pusat untuk pembangunan infra dan RM65 juta untuk pengurusan," katanya.
Terdahulu pada 9 November lalu, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mengumumkan bahawa Sukma Johor 2020 yang sepatutnya diadakan pada April tahun depan dibatalkan akibat ketidaktentuan penularan Covid-19 yang telah memasuki gelombang ketiga di negara ini.
Bagaimanapun, Johor tetap diberikan hak penganjuran untuk edisi 2022 berikutan negeri itu hampir 99 peratus bersedia dari segi perancangan, pengurusan, teknikal dan kemudahan pertandingan.
Sebelum ini, Sukma yang sepatutnya berlangsung pada Julai lepas telah ditangguh pada 6 hingga 14 Mac 2021 kerana Covid-19, dan dijadualkan semula pada 2 hingga 10 April 2021.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!