13 hotel di Johor ditutup akibat Covid-19
ISKANDAR PUTERI - Penutupan sempadan Johor-Singapura dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan Covid- 19 memberi kesan kepada sektor pelancongan negeri ini sehingga menyebabkan 13 buah hotel ditutup.
Exco Pelancongan, Belia dan Sukan Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kadar purata penginapan dilaporkan menurun daripada 57.3 peratus pada tahun 2019 berbanding 27.66 peratus pada bulan Ogos tahun ini.
"Sektor pelancongan antara sektor yang paling terkesan akibat penularan Covid- 19, selain hotel ditutup, pemandu-pemandu pelancong hilang punca pendapatan, penurunan jumlah pelawat di taman-taman tema dan juga pusat membeli belah," katanya.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan dikemukakan Datuk Zulkurnain Kamisan (BN- Sri Medan) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar, di sini hari ini.
Onn Hafiz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN) Layang- layang berkata, menyedari kepentingan pembukaan sempadan Johor-Singapura terutamanya untuk sektor pelancongan, kerajaan sering membawa isu pembukaan sempadan Malaysia- Singapura.
Katanya, Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad telah membawa perkara berkenaan dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara dan National Economic Action Council (NEAC).
"Atas keunikan Johor, negeri ini menjadi negeri pertama di Malaysia yang diberi ruang untuk membentangkan status ekonominya ke NEAC.
"Namun begitu, kita semua sedia maklum bahawa untuk agenda pembukaan sempadan Johor Singapura ini berjaya, ia memerlukan persefahaman kerjasama dan persetujuan antara kerajaan negeri, kerajaan Pusat dan kerajaan Singapura.
"Selain itu, faktor kesihatan dan keselamatan, bermakna angka Covid-19 perlu rendah di Malaysia- Singapura," katanya.
Onn Hafiz berkata, pihak kerajaan negeri pada mulanya teruja dengan pengumuman gelembung perjalanan antara Hong Kong dan Singapura dengan harapan agar diaplikasikan untuk Johor pula.
"Namun sehari sebelum pelaksaannya pada 21 November, kerajaan Singapura mengumumkan pembatalan gelembung perjalanan itu," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!