Isu PTPTN: Kerajaan gagal cari solusi

Mohamad Najib
Mohamad Najib
A
A
A
JOHOR BAHRU - Kaedah pembayaran semula pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang masih samar dan kurang efisyen menunjukkan kegagalan kerajaan PH mengendalikan sesuatu isu.

Ketua Pemuda Umno Bahagian Seri Gading, Mohamad Najib Samuri berkata, malah usaha dan cadangan disarankan kerajaan mahupun badan itu sendiri masih gagal mencapai fungsi yang saksama iaitu meringankan beban peminjamnya.

Menurutnya, kemelut dalam PTPTN yang dilihat semakin tidak menhiraukan peminjamnya berlaku apabila sehingga kini pengerusi badan itu masih belum mendapat kata putus untuk menyelesaikan masalah.

"Sejak Wan Saiful Wan Jan dilantik menjadi Pengerusi PTPTN, nampaknya semua cadangan dan ideanya ditolak mentah-mentah bukan sahaja oleh rakyat, malah kerajaan PH sendiri.

"Lebih malang lagi, skim kaedah bayaran balik pinjaman secara potongan gaji berjadual (PGB) bermula Januari 2019 serendah RM40 sebulan sehingga mencecah lebih RM1,000 mengikuti paras gaji juga ditolak oleh Kabinet.

"Mungkin dia terlupa bahawa bukan semua graduan yang telah tamat pengajian secara automatik mendapat kerja. Sebaliknya graduan ini ramai yang menganggur dan masih mencari kerja," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Mohamad Najib berkata, pembuat dan pelaksana dasar mesti mencari titik keseimbangan untuk mendapat jalan keluar agar ahli masyarakat, terutama golongan muda yang masih belum menyelesaikan hutang PTPTN dapat menarik nafas lega.

"Pengerusi PTPTN sendiri (Wan Saiful) katanya akan mendapatkan input dan melakukan kajian, namun sehingga hari ini masih mendiamkan diri.

"Tiba-tiba timbul berita Ketua Pegawai Eksekutif PTPTN bersara awal. Sekiranya isu inilah yang menjadi tekanan kepada beliau seharusnya bukan beliau yang bersara sebaliknya Wan Saiful kerana gagal mencari solusi terhadap perkara ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, belum selesai isu mengenai PTPTN, kerajaan sekali lagi dilihat menekan rakyat apabila pengumuman Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik mengenai tiada lagi bantuan peringkat pendidikan tinggi menerusi Program MyBrain.

Katanya, ia sekali gus menyebabkan graduan tidak mempunyai pilihan lain untuk melanjutkan pelajaran selain mendapatkan insentif daripada PTPTN sahaja.

"Perkara ini sangat membebankan anak muda, terutama yang bakal menyambung pelajaran ke peringkat sarjana. Dengan meminjam dengan PTPTN hutang mereka akan bertambah sekiranya mereka juga meminjam dengan badan itu sewaktu ijazah pertama dahulu.

"Saya mendapat rungutan anak muda bahawa setiap bulan peminjam akan menerima email dari PTPTN yang menyatakan hutang bulanan dan baki tertunggak," katanya.

Sehubungan itu, beliau mensarankan kerajaan kini dan pentabiran PTPTN untuk menggunakan sahaja dasar pelaksaan yang diaplikasi BN dahulu sekiranya tidak mempunyai cara lain.

"Saya berharap PTPTN tidak menjadi lintah darat, along mahupun gangster yang mengutip hutang secara tiada kompromi.

"Jika tidak tahu cari jalan penyelasaiannya tanyalah mereka yang lebih arif, jika malu, teruskanlah cara pembayaran sewaktu pemerintahan BN yang lalu," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!