Dalang utama judi 'online' diberkas
KUALA LUMPUR - Polis menahan dalang utama kegiatan judi dalam talian yang disyaki ada kaitan dengan Alvin Goh dan Addy Kanna menerusi operasi dari 10 Oktober hingga 20 Oktober lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, suspek dikenali sebagai Chen Dewei, 31, yang juga warga China.
"Lelaki itu ditahan di Mont Kiara di sini, bersama enam lagi suspek terdiri daripada lima lelaki warga China dan seorang lelaki tempatan," katanya dalam sidang akhbar di Bukit Aman di sini, hari ini.
Menurutnya, sepanjang operasi itu seramai 130 individu ditahan dalam serbuan yang dijalankan ke atas 14 premis 'calling center' yang menjalankan aktiviti perjudian dalam talian di sekitar Lembah Klang.
"Kita percayai dengan tangkapan ini berjaya menumpaskan 12 sindiket 'calling center' yang menjalankan aktiviti perjudian dalam talian termasuk didalangi Dewei dan suspek membawa sindiket dari China untuk membuka 'calling center' di sin.
"Suspek juga dikehendaki pihak berkuasa di China kerana kegiatan penipuan dan berperanan sebagai penghubung antara sindiket di Malaysia dan Chinai," katanya.
Katanya, Dewei kini bersama enam lagi suspek antara 87 individu yang ditahan menerusi operasi Dadu Centre yang direman 38 hari mengikut Seksyen 4(2)(a) Akta Pencegahan Jenayah 1959.
"Mereka akan dihadapkan ke Lembaga Pencegahan Jenayah (LPJ) pada 8 Januari ini selepas tamat reman selama 38 hari.
"19 individu kini masih dalam siasatan Akta Pencegahan Jenayah (POCA) dan 13 lagi dibebaskan," katanya.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan Alvin Goh, Addy Kanna serta dua lagi anggota polis ditahan mengikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA) selama dua tahun.
Hukuman tahanan selama dua tahun itu diputuskan Lembaga Pencegahan Jenayah (LPJ), Kementerian Dalam Negeri pada 25 dan 26 November lalu.
Huzir bekata, keempat-empat individu berkenaan akan dihantar ke tiga Pusat Pemulihan Khas (PPK) iaitu di Simpang Renggam, Bentong dan Pokok Sena," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Addy Kanna, Alvin Goh antara empat ditahan bawah POCA
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!