Beri alasan lalok dadah pecah masuk kereta

Polis membuat pemeriksaan ke atas kereta suspek yang berjaya diberkas di Kampung Berapit, Tikam Batu, Sungai Petani kira-kira jam 10 malam semalam. - Foto Polis Kuala Muda
Polis membuat pemeriksaan ke atas kereta suspek yang berjaya diberkas di Kampung Berapit, Tikam Batu, Sungai Petani kira-kira jam 10 malam semalam. - Foto Polis Kuala Muda
A
A
A

SUNGAI PETANI - Seorang lelaki yang cuba memecah masuk sebuah kereta di Hotel Park Avenue di sini diberkas polis di Kampung Berapit, Tikam Batu di sini selepas dikejar sejauh lapan kilometer dalam kejadian kira-kira jam 10 malam semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, lelaki yang menaiki kereta Perodua Viva berwarna hitam itu melarikan diri selepas terserempak dengan kereta peronda polis di kawasan Jalan Alor Setar-Butterworth menghala ke Pekan Tikam Batu.

Menurutnya, semasa dikejar polis, berlaku pelanggaran kecil sehingga kereta lelaki berusia 31 tahun itu terbabas, sebelum suspek keluar daripada kenderaan untuk melarikan diri.

"Anggota polis berjaya menahan suspek di dalam kawasan hutan iaitu jarak lebih kurang 10 meter dari tempat kereta terbabas dan berlaku sedikit pergelutan.

"Bagaimanapun, tiada kecederaan dialami oleh anggota kami," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Adzli berkata, hasil pemeriksaan rekod mendapati suspek dikehendaki polis berkaitan beberapa kes pecah cermin kereta di Sungai Petani sebelum ini.

Menurutnya, hasil pemeriksaan di dalam kereta suspek juga turut menjumpai pemotong besi serta tukul besi.

"Suspek bersama barang rampasan dibawa balik ke Balai Polis Tikam Batu untuk siasatan lanjut.

"Ketika disoal siasat, suspek menyatakan dia dalam pengaruh dadah menyebabkan dia melakukan perbuatan khianat," katanya.

Beliau berkata, polis turut melakukan ujian saringan urin terhadap suspek dan kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas dengan menggunakan kekerasan.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!