Misi UMNO kuasai semula kerajaan dengan kerjasama Pas

Mohamed Khaled Nordin
Mohamed Khaled Nordin
A
A
A

JOHOR BAHRU - Misi UMNO adalah menguasai semula kerajaan melalui Barisan Nasional (BN) dengan kerjasama Pas dan tiada siapa dapat atau patut menghalangnya, kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata, pihak yang bercadang memencilkan pengaruh UMNO, mereka sebenarnya lemah dan tidak mempunyai kekuatan untuk ditawarkan kepada orang Melayu.

"Mereka sekadar sedar politik Melayu itu penting tetapi tidak mempunyai sebarang agenda untuk menjayakannya. Cadangan dan pandangan sebegini tidak wajar dan tidak seharusnya berterusan.

"Ini kerana mereka yang menyeru dan mendakwa agar tidak perlu ada parti Melayu yang dominan adalah mereka yang gagal memahami hakikat politik nasional, tidak sensitif dan malas berusaha untuk mengangkat dan melindungi orang Melayu.

"Sebenarnya, UMNO dan Pas adalah kekuatan yang mencukupi dan selebihnya akan menyebabkan ‘the space is a little bit too crowded’," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Gabungan parti Melayu, tidak timbul isu parti mana dominan: Saifuddin

Pas, UMNO dan Bersatu memerlukan antara satu sama lain

Malaysia perlukan suatu 'grand coalition': Annuar

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata, UMNO sebagai sebuah parti politik Melayu tertua dan terbesar tidak akan 'memadamkan' mandat serta peranannya adalah sebagai parti nasionalis terbesar dan teras kepada kekuatan politik Melayu Islam.

Bekas Menteri Besar Johor itu menegaskan, UMNO merupakan parti Melayu yang telah lama wujud dan tidak boleh dinyahkan begitu sahaja.

Malah katanya, sebuah parti Melayu yang dominan sangat penting dalam memastikan kestabilan politik nasional.

"Sama ada kenyataan ini sensitif atau tidak, berselindung atau bersemuka, ini adalah hakikat," katanya.

UMNO dan Pas katanya, adalah rakan kerjasama yang setara dalam Muafakat Nasional namun kekuatannya berbeza.

"UMNO ternyata lebih besar daripada segi pengaruh dan kekuatan akar umbi. Pas pula mempunyai kelebihan tersendiri dalam mewakili orang Melayu. Atas dasar inilah UMNO bersedia menyokong kerajaan sedia ada.

"Sumbangan UMNO adalah untuk memastikan kita bukan sahaja mempunyai kerajaan tetapi kerajaan yang stabil. Demi rakyat dan kelangsungan pentadbiran, UMNO berkompromi," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!