Tukang rumah ditahan bersama senapang angin, bebola besi
DUNGUN - Seorang tukang rumah ditahan bersama selaras senapang angin dan 17 biji bebola besi dalam satu serbuan di sebuah rumah di Paka di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, lelaki berusia 50 tahun itu ditahan kira-kira jam 1.30 pagi oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah D9, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu.
Menurutnya, semasa serbuan di kediaman lelaki itu, pihak polis telah menemui selaras senapang angin buatan sendiri di bawah katil di bilik tidur rumah.
"Hasil pemeriksaan lanjut yang dibuat, kita turut menemui mesin pemampat angin yang berada di tepi dinding ruang tamu dan satu kotak berwarna putih mengandungi 17 biji bebola besi di dalam almari di ruang tamu.
"Semasa soal siasat dilakukan, suspek memaklumkan senapang angin itu milik arwah abangnya yang digunakan untuk memburu pelanduk di hutan dengan kali terakhir digunakan pada November tahun lalu," katanya.
Jelasnya, siasatan sedang dijalankan dan suspek ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 8 Akta Senjata 1960.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!