Dua jam 'tersangkut' di tingkat lapan bangunan hotel

Pasukan bomba menyelamatkan dua lelaki yang tersangkut pada tingkat lapan ketika melakukan kerja mengecat bangunan sebuah hotel di pusat bandar Kota Kinabalu hari ini. Gambar kanan: Amir Kahar Suruji
Pasukan bomba menyelamatkan dua lelaki yang tersangkut pada tingkat lapan ketika melakukan kerja mengecat bangunan sebuah hotel di pusat bandar Kota Kinabalu hari ini. Gambar kanan: Amir Kahar Suruji
A
A
A

KOTA KINABALU - Dua pekerja penyelenggara bangunan 'tersangkut' selama dua jam di tingkat lapan sebuah bangunan hotel di pusat bandar di sini berikutan alat pengangkutan jenis lif platform yang mereka naiki mengalami kerosakan.

Dalam kejadian kira-kira 2.30 petang itu, Amir Kahar Suruji, 35, bersama rakannya, Binajak Abdul, 38, bagaimanapun berjaya diselamatkan pasukan bomba dengan menggunakan jentera Aerial Ladder Platform (ALP) untuk menurunkan mangsa.

Menurut Amir Kahar, kejadian berlaku ketika mereka menaiki lif platform untuk melakukan kerja mengecat bangunan hotel terbabit.

"Kami naik kira-kira jam 1 tengah hari tetapi selepas sejam kemudian, enjin tiba-tiba rosak dan menyebabkan kami tersangkut di tingkat lapan bangunan.

"Kami terpaksa maklumkan kepada rakan sekerja yang lain untuk mendapatkan bantuan dan menunggu selama kira-kira dua jam serta terpaksa menahan panas selama berada di atas sebelum bantuan tiba," katanya kepada Sinar Harian di lokasi kejadian hari ini.

Amir Kahar berkata, dia bernasib baik kerana tiada kejadian tidak diingini berlaku semasa 'tersangkut' itu.

"Walaupun sudah biasa berada di atas untuk melakukan kerja mengecat tetapi kami bimbang jika angin kuat tadi. Tetapi mujur keadaan terkawal dan berjaya turun dengan selamat," katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Nickton Berry G Micky berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 3.54 petang.

Artikel Berkaitan:

"Seramai 15 anggota bersama jentera dikejar ke lokasi kejadian. Sebaik tiba, operasi menyelamatkan dua lelaki yang tersangkut di tingkat lapan ketika melakukan kerja mengecat bangunan.

"Kedua-dua mangsa berjaya diturunkan pada jam 4.34 petang dan hasil pemeriksaan mereka selamat serta tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Menurutnya, operasi ditamatkan pada jam 4.37 petang selepas keadaan semuanya selamat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!