Wartawan trauma kereta dilarikan penjenayah
PETALING JAYA - Seorang wartawan mengalami trauma apabila kereta miliknya dilarikan penjenayah bersenjatakan parang di depan sebuah rumah di Seksyen 17, di sini awal pagi tadi.
Mangsa, Yap Hui Ping, 25, berkata ketika kejadian pada jam 12.10 pagi dia sedang menurunkan barang dibeli di sebuah pasaraya yang tertinggal dalam kereta Perodua Myvi miliknya.
Menurutnya, tiba-tiba sebuah van berwarna putih berhenti di tepi kereta sebelum dua lelaki bersenjatakan parang turun dan mendekatinya.
"Lelaki terbabit terus rampas kunci kereta di tangan saya, sebuah telefon bimbit yang berada dalam kereta turut dilarikan.
"Saya tak pasti berapa orang semuanya kerana cermin van yang dinaiki penjenayah terlalu gelap.
"Mereka hanya berlalu pergi selepas saya mula jerit dan cuba kejar kereta itu," katanya menerusi status di muat naik dalam akaun Facebook miliknya, hari ini.
Hui Ping berkata, dia tidak dapat melakukan apa-apa atau menghubungi sesiapa pun ketika itu kerana telefon bimbitnya turut dilarikan.
Dia yang tidak mengalami sebarang kecederaan kemudian membuat laporan di Balai Polis Damansara.
"Tolong berhati-hati jika anda keluar dari rumah terutamanya perempuan.
"Saya tak sangka kejadian ini akan berlaku kepada saya hanya ketika nak ambil barang yang tertinggal dalam kereta," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!