Kembalilah ke pangkuan UMNO

No Image Caption
A
A
A

PRESIDEN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang merupakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika berucap pada Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu baru-baru ini menyatakan bahawa hubungan antara parti Bersatu dengan UMNO perlu diperkukuhkan dengan kedua-dua parti termasuk Pas berada dalam satu jemaah yang besar iaitu Perikatan Nasional (PN).

Beliau menggesa agar semua parti bersatu bagi memperkukuhkan kekuatan penyatuan ummah yang pasti menjadi teras kepada kestabilan politik Malaysia.

Demi mengelakkan penyatuan ummah menjadi retorik sebagaimana saranan Muhyiddin, penulis berasakan sudah tiba masanya untuk Perdana Menteri bersama seluruh saf kepimpinan dan ahli Bersatu untuk kembali ke pangkuan UMNO.

Hakikatnya, dasar, orientasi dan ideologi Bersatu adalah sama dan tiada bezanya dengan UMNO, bahkan hampir keseluruhan kepimpinan serta ahli Bersatu berasal daripada rahim yang sama iaitu UMNO.

Sejarah membuktikan bahawa beberapa parti serpihan yang terpecah daripada UMNO kembali semula kepada parti terbesar orang Melayu itu.

Ia merujuk kepada matlamat asas penubuhan setiap parti-parti serpihan itu seperti Parti Kemerdekaan Malaya (IMP), Parti Negara, Parti Melayu Semangat 46 dan termasuklah parti Bersatu yang hanya bertujuan untuk menjatuhkan UMNO.

Bezanya, setiap parti tersebut gagal menjatuhkan UMNO kecuali Bersatu yang pernah bersekongkol dengan DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (Amanah) dalam Pakatan Harapan (PH) berjaya mengalahkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Namun, penjajaran semula parti-parti politik menyaksikan UMNO dan Bersatu tertakdir berada bersama dalam gabungan sebuah kerajaan yang bernama PN.

Artikel Berkaitan:

UMNO dan BN telah pun dikalahkan pada PRU14. Jadi, apa lagi yang mahu ditegakkan oleh Bersatu jika hanya mahu mempertahan, membina dan menentu hala tuju parti yang hanya berkongsi idealisme yang sama dengan UMNO?

Perkembangan tersebut hanya mencetuskan pertelingkahan dan perpeca-han yang lebih banyak dalam kalangan orang Melayu serta umat Islam.

Secara teknikal dan taktikalnya, UMNO dan Bersatu hakikatnya hanya akan bertumpu kepada dasar serta kolompok ahli, pengundi serta akar umbi yang sama.

Persaingan akan berlaku secara sengit antara kedua-dua parti pada peringkat akar umbi untuk membina pengaruh, mendapatkan keahlian dan mengekalkan ketahanan parti masing-masing.

Amatlah molek sekiranya semua yang terlibat kembali ke pangkuan UMNO dengan penuh jiwa besar. Perkasakan parti keramat orang Melayu itu dengan penuh rasa insaf dan kesedaran tentang survival orang Melayu serta umat Islam seluruhnya.

Demi merealisasikan cita-cita besar itu, demi perjuangan memartabatkan Islam, bangsa dan tanah air yang suci, demi masa depan anak cucu dan generasi akan datang.

Maka, kita semua harus leburkan keegoan yang membelenggu diri, membenamkan sejarah hitam lampau yang masih menghantui dan mengorak langkah bersama bagi melakar sejarah baharu yang memenuhi citra serta harapan ummah dan tuntutan wahyu Ilahi.

Amatlah molek sekiranya semua yang terlibat kembali ke pangkuan UMNO dengan penuh jiwa besar. Perkasakan parti keramat orang Melayu itu dengan penuh rasa insaf dan kesedaran tentang survival orang Melayu serta umat Islam seluruhnya.

* Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki ialah Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!