Bekas pekerja Istana Anak Bukit serah perahu 100 tahun

Dari kiri: Mohd Kasri dan Mat Isa melihat keadaan perahu sagor di Kampung Chegar sebelum dipindahkan ke dalam lori untuk dibawa ke Universiti Utara Malaysia (UUM) semalam.
Dari kiri: Mohd Kasri dan Mat Isa melihat keadaan perahu sagor di Kampung Chegar sebelum dipindahkan ke dalam lori untuk dibawa ke Universiti Utara Malaysia (UUM) semalam.
A
A
A

ALOR SETAR - Bekas pekerja Istana Anak Bukit, Mat Isa Sudin, 97, menyerahkan perahu Sagor berusia lebih kurang 100 tahun kepada Muzium Universiti Utara Malaysia (UUM) untuk dipelihara agar menjadi tatapan generasi pada masa hadapan.

Mat Isa yang pernah bekerja di bawah pemerintahan tiga Sultan Kedah iaitu Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah Ibni Almarhum Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Syah, Almarhum Sultan Badlishah Ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah dan Almarhum Sultan Abdul Halim Muadzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah menyerahkan perahu tersebut kepada Pengarah Muzium UUM, Dr Mohd Kasri Saidon.

Menurutnya, perahu yang dikorek daripada sebatang pokok bongor yang diperoleh di Gunung Keriang itu diterimanya daripada seorang rakan pada zaman perang Jepun.

"Perahu ini menjadi kenderaan utama pada masa itu yang digunakan sebagai pengangkutan membawa penumpang, menangkap ikan, menangkap udang dan sebagainya.

"Saya pernah bawa perahu ini sehingga ke Tanjung Chali, Pekan Alor Setar namun tidak boleh bawa ramai penumpang kerana saiznya yang kecil," katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Chegar, Anak Bukit dekat sini semalam.

Mat Isa (empat dari kiri) bersama ahli keluarganya bergambar kenangan dengan perahu sagor miliknya sebelum dipindahkan ke dalam lori untuk dibawa ke Universiti Utara Malaysia (UUM) semalam.
Mat Isa (empat dari kiri) bersama ahli keluarganya bergambar kenangan dengan perahu sagor miliknya sebelum dipindahkan ke dalam lori untuk dibawa ke Universiti Utara Malaysia (UUM) semalam.

Mengulas lanjut, Mat Isa berkata, kali terakhir dia menggunakan perahu sepanjang lima meter dan lebar tiga meter itu kira-kira 20 tahun lalu dan berpendapat sudah tiba masanya untuk diserahkan kepada pihak yang mampu memuliharanya.

Sementara itu, Mohd Kasri berkata, perahu tersebut didapati mempunyai kerosakan sehingga 30 peratus namun masih boleh dipulihara sebelum diletakkan di Muzium UUM.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, sumbangan perahu sagor seumpama itu yang sukar ditemui hari ini akan memberikan nilai tambah kepada muzium universiti dalam menarik lebih ramai pengunjung terutamanya dari negara jiran Thailand.

"Muzium UUM ini merupakan muzium pertama yang ditempuh oleh pelancong terutamanya yang datang melalui Bukit Kayu Hitam.

"Perahu ini akan diletakkan bersama peralatan-peralatan menangkap ikan yang dahulu seperti tangkul, mengelau dan pelompat. Pelancong akan mendapat gambaran mengenai Malaysia terutamanya Kedah yang giat dan dikenali dalam aktiviti pertanian," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!