KPDNHEP sedia siasat daging sejuk beku guna logo halal
PUTRAJAYA - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sedia menyiasat daging sejuk beku yang diseludup masuk sebelum dibungkus semula dengan menggunakan logo halal.
Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP, Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata, pihaknya akan menyiasat kesahihan sijil halal yang digunakan oleh kartel daging tersebut.
"Sekiranya mereka guna sijil halal, adakah ia dikeluarkan oleh pihak berkuasa di negara pengeluar?" katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Menurutnya, pihaknya juga akan menyiasat sekiranya kartel tersebut mengemukakan sijil perakuan halal kepada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) sekiranya ada.
"Kita akan tengok sejauh mana kesahihannya," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Kartel tukar daging haram jadi halal
Beliau berkata, jika pihak berkenaan menggunakan sijil halal palsu, tindakan boleh dibuat mengikut Akta Perihal Dagangan 2011.
"Kita akan ambil tindakan mengikut Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011," katanya.
Terdahulu, Sinar Harian membongkar taktik jahat kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina sebelum membungkus semula daging tersebut dengan logo halal dan menjualnya ke pasaran seluruh Malaysia.
Stok daging berkenaan dikatakan diseludup melalui Pelabuhan Pasir Gudang dan Pelabuhan Tanjung Pelepas.
Siasatan mendapati kartel berkenaan dipercayai menyamar sebagai syarikat pembekal daging sejuk beku telah menjadikan gudang berkenaan sebagai lokasi untuk membuat label dan cap palsu yang kemudiannya akan ditampal pada kotak daging yang telah dibungkus semula itu.
Dalam serbuan di sebuah gudang di Senai semalam, sebanyak 1,500 tan daging sejuk bernilai RM30 juta telah disita.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!