Ramai kantoi tiada lesen memandu

Antara pengguna jalan raya yang diperiksa dalam Ops Selamat 14, di Jalan Klang-Banting.
Antara pengguna jalan raya yang diperiksa dalam Ops Selamat 14, di Jalan Klang-Banting.
A
A
A

BANTING - Memandu tanpa memiliki lesen sah dikesan menjadi kesalahan utama dalam Ops Selamat 14 di Kilometer 13 Jalan Klang-Banting, di sini, kelmarin.

Operasi kira-kira jam 8 malam itu melibatkan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman berkata, operasi tiga jam itu melakukan pemeriksaan terhadap 115 individu dengan 98 saman atas pelbagai kesalahan dikeluarkan.

"Sebanyak 110 kenderaan diperiksa iaitu motosikal 55 buah, kereta (42), MPV (7) dan pacuan empat roda (6).

"Pelbagai kesalahan lalu lintas telah dikesan antaranya memotong barisan, tidak menampal pelekat L dan P, langgar lampu isyarat, cukai jalan tamat tempoh dan tidak memakai topi keledar," katanya kepada Sinar Harian.

Tambahnya, daripada jumlah saman dikeluarkan, kesalahan tidak memiliki lesen memandu dicatat paling banyak dengan 31 kes.

Azizan berkata, memandu tanpa lesen adalah satu kesalahan yang serius di mana bukan sahaja membahayakan diri sendiri tetapi juga turut membahayakan nyawa orang lain.

Artikel Berkaitan:

"Lebih membimbangkan, kebanyakannya mereka ini merupakan pelajar sekolah yang berumur antara 14 hingga 16 tahun.

"Saya hendak ingatkan, jika berlaku kemalangan jalan raya, ia akan lebih menyukarkan khususnya apabila mereka tidak dilindungi dengan insurans. Dalam perkara ini mana-mana ibu bapa atau penjaga yang membenarkan anak atau sesiapa yang tidak memiliki lesen memandu yang sah menggunakan kenderaan mereka boleh dikenakan tindakan undang-undang," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!