Empat lagi suspek kes tembak PGA disambung reman
KANGAR - Perintah reman terhadap empat lelaki termasuk seorang rakyat Thailand yang dipercayai terlibat dalam insiden berbalas tembak dengan Pasukan Gerakan Am (PGA) di sempadan Malaysia-Thailand minggu lalu dilanjutkan antara enam dan tujuh hari lagi bermula hari ini.
Perintah lanjutan reman itu dikeluarkan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kangar, Siti Nor Hasliza Md Ali di sini selepas membenarkan permohonan pihak polis bagi membantu siasatan kes.
Suspek warga Thailand dan seorang rakyat tempatan berumur 27 dan 45 tahun disambung reman selama enam hari (hingga 8 Disember) manakala dua suspek lagi warga tempatan berumur 22 dan 45 tahun disambung reman selama tujuh hari (hingga 9 Disember).
Semalam polis menyambung reman selama tujuh hari hingga 7 Disember ini terhadap tiga suspek warga Thailand.
Dalam kejadian awal pagi 24 November lepas, seorang anggota PGA, Sarjan Baharuddin Ramli, 54, terkorban manakala rakannya Sarjan Norihan Tari, 39, cedera parah selepas berbalas tembak dengan sekumpulan penyeludup kira-kira 600 meter dari pos kawalan TS9 di Padang Besar. - Bernama
ARTIKEL BERKAITAN: Anggota PGA maut ditembak di sempadan Malaysia-Thailand
Kes tembak di sempadan: Seorang lagi anggota PGA cedera
Kes tembak di sempadan: Polis tahan dua penyeludup
18 lelaki direman kes tembak anggota PGA di sempadan
Insiden tembak anggota PGA: Dua lagi warga Thailand ditahan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!