PKPB: Jualan ikan darat 'sendu'
RANTAU PANJANG - Jalan Rantau Panjang - Pasir Mas di sini selalunya meriah dengan aktiviti jual beli ikan darat apabila tiba musim tengkujuh.
Bagaimanapun, musim tengkujuh dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negeri ini yang bermula pada 23 November lalu menyebabkan jualan ikan agak perlahan.
Peniaga, Nik Maznah Nik Mat, 50, berkata, jualan ikan itu menurun dengan ketara berbanding tahun lalu.
"Biasanya hasil jualan boleh mencecah sehingga RM300 sehari tetapi sejak PKPB kedatangan pembeli boleh dikira dengan jari dan pendapatan tidak begitu 'kencang' seperti sebelum ini.
"Kebanyakan pembeli ikan darat sepanjang PKPB tertumpu dari kawasan berhampiran sahaja ekoran larangan merentas daerah," katanya kepada media di sini hari ini.
Menurutnya, tahun sebelum ini kebiasaan pelanggannya datang dari seluruh negeri, namun dia masih bersyukur apabila ikan darat yang ditangkap suaminya Mohd Darus Dollah, 60, itu tetap habis dijual walaupun mengambil sedikit masa berbanding sebelum ini.
"Hasil jualan digunakan untuk sara keluarga sepanjang musim tengkujuh. Luar musim tengkujuh saya berniaga mi celup di kawasan rumah dekat Kampung Bakat.
"Musim tengkujuh memberikan rezeki lebih kepada kami tetapi tahun ini kami reda asalkan rantaian Covid-19 dapat diputuskan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!