Pemenang mohon kaji pelaksanaan semula PKLN

 Mohd Yussof
Mohd Yussof
A
A
A

GEORGETOWN - Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang) memohon kerajaan Pusat menimbang dan mengkaji berhubung pelaksanaan semula Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) kerana ia memakan belanja besar.

Presidennya, Tan Sri Mohd Yussof Latiff berkata, pelaksanaan semula program latihan itu dilihat satu pembaziran susulan ia memakan belanja lebih RM8 bilion sepanjang 12 tahun program itu dilaksanakan.

"Pemenang berpendapat, PLKN tidak perlu diwujudkan semula kerana ia merupakan satu pembaziran dengan kos tinggi iaitu RM8 bilion sepanjang 12 tahun dilaksanakan selain hasil yang diperoleh tidak seperti diharapkan.

"Dengan keadaan negara berhadapan pandemik Covid-19, banyak lagi perkara kita boleh lakukan dengan wang sebanyak itu antaranya menangani masalah pengangguran yang akan mengakibatkan kepincangan struktur dalam masyarakat dan ekonomi negara," katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya di sini, hari ini.

Tambahnya, dengan keadaan penularan Covid-19, Pemenang juga bimbang jika wujud kluster baharu menerusi program tersebut sekiranya ia diadakan semula.

Mohd Yussof berkata, kebanyakan waris atau ibu bapa tidak bersetuju dan membenarkan anak mereka menyertai PLKN dengan pelbagai alasan.

"Buat masa ini, kita mencadangkan kerajaan membentuk satu program yang melibatkan pelajar sekolah untuk menyemarakkan semangat patriotisme melalui aktiviti pasukan seragam antaranya Pengakap; Pasukan Pandu Puteri, Pasukan Bulan Sabit Merah dan sebagainya.

"Aktiviti berpasukan ini terbukti membentuk karakter berjiwa masyarakat dan keprihatinan negara terhadap pelajar sekolah berbanding PLKN," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah Mohd Yussof, sehubungan itu, kerajaan perlu memberi keutamaan kepada Kementerian Pendidikan berhubung perbelanjaan pembangunan sumber manusia dalam kalangan pelajar sekolah menerusi aktiviti berpasukan.

"Daripada peruntukan diberikan kepada PLKN yang tidak memberi hasil diharapkan, adalah lebih baik wang tersebut disalurkan kepada Kementerian Pendidikan dalam menambah balik pelaksanaan aktiviti berpasukan di sekolah.

"Beberapa tahun lalu, Pemenang sudah menyatakan bantahan ini dan dalam keadaan negara berdepan dengan pandemik Covid-19, kita sekali lagi membantah cadangan pelaksanaan semula PLKN ini," katanya.

Sebelum ini, Kementerian Pertahanan bercadang melaksanakan semula PLKN yang dimansuhkan pada 2018 oleh kerajaan terdahulu.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelaksanaan PLKN sebelum ini memberi kesan yang baik kepada pembentukan patriotisme remaja.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!