8 lelaki didakwa 'hijack' treler muatan bongkah tembaga
KULIM - Seramai lapan lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen Kulim hari ini kerana terlibat dengan kejadian 'hijack' sebuah treler bersama muatan 60 bongkah tembaga bulan lalu.
Bagaimanapun kesemua tertuduh tidak mengaku salah atas pertuduhan dibacakan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Pavitra Satha Sivam di hadapan Hakim Ruzaimah Mohd Ridzuan.
Terdahulu, lima lelaki iaitu Lim Wooi Ming, 35, Ganeshan Murugiah, 52, Thiruchelvam Annamalai, 39, Mohamed Shazali Mohamed Noor, 37, dan S S Kumalavadivalla Subramaniam, 44, dituduh bersama-sama melakukan rompakan berkumpulan ke atas harta milik Yuan Zhenghui iaitu 60 bongkah tembaga pada 15 November lalu.
Perbuatan itu dilakukan di kawasan tepi Bukit Chong, Sungai Karangan pada kira-kira jam 8.30 pagi.
Disebabkan itu, mereka telah melakukan kesalahan dan boleh dihukum bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.
Sementara itu, dalam pertuduhan berasingan, Murugan Veerayah, 45, dan Mogana Sunder Paneer Selvam, 41, dituduh telah menguruskan 60 bongkah tembaga yang disyaki harta curi terbabit kepada pihak pembeli pada 15 dan 17 November 2020.
Disebabkan itu, kedua-dua tertuduh telah melakukan kesalahan bawah Seksyen 413 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum bawah seksyen yang sama.
Mengikut pertuduhan seterusnya, Teo Chee Fai, 45, disyaki pembeli telah dituduh menyimpan bongkah tembaga yang dipercayai diperoleh dari hasil kegiatan rompakan berkumpulan terbabit pada 17 November 2020.
Akibat kesalahan itu, dia boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 412 Kanun Keseksaan.
Tertuduh berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau boleh juga dikenakan denda jika sabit kesalahan.
Hakim membenarkan kesemua lapan tertuduh diberi jaminan sebanyak RM8,000 bersama seorang penjamin.
Mahkamah menetapkan 11 Januari 2021 sebagai tarikh sebutan semula kes.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan seramai 15 individu ditahan kerana disyaki terlibat dalam kejadian 'hijack' sebuah treler bersama muatan 60 bongkah tembaga bernilai RM300,000, bulan lalu.
ARTIKEL BERKAITAN 'Hijack' treler, Geng Alavandan dicekup
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!