KUALA TERENGGANU - Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini menjatuhkan hukuman penjara 13 tahun dan lima sebatan terhadap seorang lelaki atas pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual terhadap dua adik angkatnya. Hakim Nooriah Osman menjatuhkan hukuman itu setelah tertuduh yang juga pemotong rumput berusia 26 tahun mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 376 (2)(e) Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 terhadapnya. Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa merogol adik angkat perempuannya yang berusia 10 tahun di sebuah rumah di Kuala Nerus pada 31 Ogos lalu, jam 12 tengah malam. Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 30 tahun penjara dan sebat, jika sabit kesalahan. Tertuduh juga didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap adik lelaki mangsa yang berusia lapan tahun dengan meliwat mangsa di rumah sama di Kuala Nerus pada 16 September lalu, jam 2 petang. Dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 itu berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan. Sejurus pengakuan bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan bagi pertuduhan merogol, manakala tiga tahun dan dua sebatan bagi pertuduhan meliwat. Mahkamah juga mengarahkan hukuman berjalan secara berasingan bermula tarikh tertuduh ditangkap pada 26 Oktober lalu. Tertuduh juga diarahkan berada dalam pengawasan polis selama setahun mengikut Seksyen 27 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 sebaik tertuduh selesai menjalani hukuman penjara. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Zulfazliah Mahmud, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.