Keluarga Altantuya fail rayuan

Bapa Altantuya, Dr Sharibuu Setev. Gambar kecil: Altantuya
Bapa Altantuya, Dr Sharibuu Setev. Gambar kecil: Altantuya
A
A
A

KUALA LUMPUR - Keluarga Altantuya Shaariibuu, model Mongolia yang dibunuh pada 2006 memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan mereka untuk mendapatkan kenyataan diambil daripada individu yang disiasat polis dalam kes itu untuk digunakan dalam saman sivil.

Bapa Altantuya, Dr Shaariibuu Setev, isteri dan dua cucu lelakinya memfailkan saman RM100 juta terhadap dua bekas anggota polis iaitu Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar, penganalisis politik Abdul Razak Baginda serta kerajaan Malaysia pada 4 Jun 2007.

Peguam keluarga Altantuya, Sangeet Kaur Deo memberitahu Bernama, rayuan berkenaan difailkan pada 14 Ogos.

“Rayuan itu ditetapkan untuk pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan, Noridah Adam pada 18 Jan melalui e-review," katanya menerusi aplikasi WhatsApp semasa ditanya mengenai perkembangan terkini kes berkenaan.

Pada 22 Julai lepas, Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, hakim bagi kes sivil di Mahkamah Tinggi Shah Alam semasa menolak permohonan itu memutuskan bahawa kenyataan itu telah diambil secara rahsia dan bagi tujuan perbicaraan jenayah.

Hakim itu juga berkata, pendedahannya boleh memudaratkan sebarang siasatan lanjut pada masa akan datang.

Sementara itu, Sangeet berkata, perbicaraan akan disambung semula pada 11 hingga 15 Januari depan.

Setakat ini, 10 saksi untuk keluarga Altantuya telah memberi keterangan dalam kes berkenaan yang bermula pada Januari 2019.

Artikel Berkaitan:

Dr Shaariibuu dan isterinya, Altantsetseg Sanjaa serta dua cucu lelaki mereka iaitu Mungunshagai Bayarjargal dan Altanshagai Munkhtulga, memfailkan saman RM100 juta pada 4 Jun 2007 bagaimanapun nama Altanshagai Munkhtulga kemudian dibuang selepas dia meninggal dunia pada 2017.

Dalam penyataan tuntutan, keluarga itu mendakwa kematian Altantuya telah menyebabkan mereka mengalami kejutan mental dan trauma psikologi, yang melayakkan mereka menerima ganti rugi teladan dan teruk.

Abdul Razak didakwa bersubahat dengan Azilah dan Sirul Azhar untuk membunuh Altantuya, 28, pada 2006, namun beliau telah dibebaskan daripada pertuduhan pada Oktober 2008 tanpa dipanggil membela diri manakala Azilah dan Sirul Azhar didapati bersalah pada 2009.

Pada 23 Ogos 2013, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Azilah dan Sirul Azhar serta membebaskan mereka daripada pertuduhan namun keputusan itu telah diubah oleh Mahkamah Persekutuan pada 13 Januari 2015 susulan rayuan pendakwaan.

Sirul kemudian melarikan diri ke Australia dan kini ditahan di pusat tahanan imigresen di sana dan pada 5 Disember tahun lepas, Azilah yang sedang menunggu hukuman mati di Penjara Kajang, memfailkan permohonan semakan semula sabitan dan hukuman mati terhadapnya serta memohon supaya diadakan perbicaraan semula. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!