Pindaan, tambah baik SOP pilihan raya ambil kira syor KKM

Gambar fail.
Gambar fail.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pindaan dan penambahbaikan Garis Panduan Pencegahan Covid-19 Bagi Pelaksanaan Pilihan Raya mengambil kira tiga syor yang dikemukakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Shabudin Yahaya berkata, tiga syor itu merangkumi larangan rentas negeri, tidak boleh berkempen rumah ke rumah serta tidak boleh mengadakan perhimpunan melibatkan kehadiran orang yang ramai.

“SPR akan merangka garis panduan yang lebih ketat dan menyeluruh sebagai langkah meminimumkan risiko dan jangkitan Covid-19 sepanjang proses pilihan raya termasuk pindaan garis panduan yang diguna masa Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah,” katanya pada sesi Kamar Khas di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Vivian Wong Shir Yee (PH-Sandakan) mengenai proses pilihan raya yang selamat untuk semua dalam waktu wabak Covid-19.

Mengambil kira pengalaman PRN Sabah, SPR akan menyediakan pelitup muka di semua pusat mengundi bagi yang hadir tanpa pelitup muka dan semua petugas pilihan raya sentiasa memantau kepatuhan terhadap garis panduan yang ditetapkan terutama penjarakan fizikal.

Antara pelanggaran garis panduan yang dikesan pada PRN Sabah ialah tidak memakai pelitup muka ketika berada di pusat mengundi, tidak mematuhi penjarakan fizikal satu meter dan tidak merekodkan kehadiran sebelum beredar dari pusat mengundi.

“Ketidakpatuhan terhadap prosedur operasi standard oleh pihak terlibat dalam PRN Sabah terutamanya melibatkan aktiviti berkempen sepanjang tempoh pilihan raya adalah antara faktor peningkatan kes penularan Covid-19 kerana dalam PRK sebelumnya iaitu PRK Chini dan Slim tiada sebarang kluster dilaporkan,” katanya.

Shabudin berkata, SPR akan terus meneliti dan menimbang pandangan atau cadangan daripada pihak lain untuk menambah baik pelaksanaan proses pilihan raya dengan isu keselamatan dan kesihatan menjadi keutamaan dalam mendepani wabak Covid-19. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: PRK Gerik, Bugaya serentak pada 16 Januari

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!