Anggota bomba diserang dalam keadaan kritikal

Zuraida Kamaruddin (kanan) bersama Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Mohammad Hamdan Wahid ketika sidang media selepas menziarahi seorang anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) JBPM yang cedera parah. - Foto Bernama
Zuraida Kamaruddin (kanan) bersama Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Mohammad Hamdan Wahid ketika sidang media selepas menziarahi seorang anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) JBPM yang cedera parah. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM – Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat yang cedera dalam insiden kekecohan di kuil Sri Mahamariamman di USJ 25, Putra Heights berada dalam keadaan kritikal dan bergantung sepenuhnya kepada alat bantuan pernafasan, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin.

Beliau berkata mangsa Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, mengalami beberapa kecederaan parah akibat daripada insiden itu.

"Muhammad Adib masih belum sedarkan diri dan pemeriksaan pasukan perubatan menemui beberapa kesan lebam di bahagian dadanya.

"Tulang rusuknya turut patah sehingga mengakibatkan kesukaran bernafas," katanya dalam sidang media selepas melawat mangsa di Pusat Perubatan Subang Jaya, di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Muhammad Hamdan Wahid.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi tadi, Muhammad Adib dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya dipercayai dipukul oleh sekumpulan perusuh ketika dalam operasi memadam kebakaran kenderaan di hadapan kuil tersebut.

Sumber Bomba berkata mangsa yang duduk di bahagian penumpang hadapan telah ditarik keluar dari kenderaan EMRS selain perusuh telah merosakkan kenderaan FRT dan EMRS milik Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Mengulas lanjut, Zuraida berkata mangsa kini dalam pemantauan rapi pihak hospital dan seramai lima doktor memantau tahap kesihatannya itu dan dimaklumkan tekanan darah mangsa berada dalam keadaan rendah dan tidak berubah.

Artikel Berkaitan:

Beliau juga berkata mangsa yang berasal dari Kedah telahpun bertunang dan bakal melangsungkan perkahwinan bulan depan.

Terdahulu, Zuraida yang tiba kira-kira pukul 12 tengah hari sempat meluangkan masa bertemu anggota keluarga mangsa dan memaklumkan menjadi 'personal guarantor' bagi bil perubatan mangsa.

"Saya cukup kesal dan dukacita dengan kejadian ini, saya bertemu dan menenangkan ahli keluarga, mereka sangat sedih dan trauma, kita sama-sama doakan yang baik-baik untuk mereka.

"Ini adalah hari yang sedih untuk kita, anggota bomba ini menawarkan perkhidmatan mereka untuk apa saja kecemasan, kenapa buat begini kepada anggota bomba,” katanya. – Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!