Tompokan darah di lori pengutip sampah dilapor hilang
KUALA KETIL - Seorang pengutip barangan lusuh yang dilaporkan hilang semalam bagaimanapun, lori disyaki miliknya ditemui berdekatan tempat pembuangan tong sampah di Taman Orkid di sini pagi tadi dengan beberapa kesan tompokan darah.
Lelaki berusia 30-an itu dikatakan keluar mencari barangan lusuh di sekitar daerah ini setiap malam dan disedari hilang oleh ahli keluarga apabila tidak pulang ke rumah sejak semalam.
Difahamkan, lorinya ditemui pekerja pembersihan yang melakukan rutin tugasan di lokasi kejadian kira-kira jam 8.30 pagi.
Menurut sumber, pada awalnya mereka menyangkakan tompokan terbabit adalah kesan bangkai haiwan, namun setelah diamati ia dipercayai darah lelaki berkenaan.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Syed Basri Syed Ali yang dihubungi mengesahkan menerima aduan.
Menurutnya, pasukan forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah menjalankan siasatan ke lokasi kejadian hari ini.
"Siasatan kemudian diteruskan ke sebuah jambatan Sungai Ketil (kira-kira satu kilometer dari lokasi lori ditemui) bersempadan dengan daerah Kuala Muda di mana polis turut menemui kesan tompokan darah di atas jambatan tersebut.
"Siasatan masih dijalankan dan sampel darah dari kedua-dua lokasi telah diambil untuk dihantar ke makmal bagi mengenal pasti sama ada mempunyai kaitan dengan kehilangan mangsa ataupun tidak," katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, polis meminta orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi tentang kejadian sehingga siasatan selesai.
Sementara itu, tinjauan Sinar Harian di lokasi kejadian mendapati anggota polis turut menggunakan khidmat anjing pengesan serta bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia bagi menjejaki lelaki berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!