Budaya hamba pakaian

A
A
A

DALAM Islam, memiliki dan memakai pakaian yang baik-baik tidaklah menjadi satu kesalahan. Malah dalam sebuah hadis Rasulullah SAW, baginda bersabda yang maksudnya: “Jika ALLAH mengurniakan kepada kamu harta, maka perlihatlah kesan nikmat ALLAH ke atas kamu dan kemuliaannya.”(Riwayat Abu Daud)

Hadis ini menunjukkan Islam tidak menghalang umatnya memakai pakaian yang setaraf dengan kedudukan mereka. Dalam hadis lain, Rasulullah SAW menegur sahabat yang menunjukkan penampilan yang selekeh dan tidak terurus.

Daripada Jabir Ibn Abdillah RA, beliau berkata yang maksudnya: “Rasulullah SAW telah datang kepada kami, lalu baginda melihat seorang lelaki yang tidak terurus di mana rambutnya dibiarkan berterbangan lantas sabda Nabi SAW: “Tidakkah dia mendapat sesuatu yang boleh dia menguruskan rambutnya?” Kemudian baginda melihat seorang lelaki yang lain dengan pakaian yang kotor lalu baginda SAW bersabda: “Apakah orang itu tidak mendapati air untuk dia basuh pakaiannya?” (Riwayat Abu Daud)

Penampilan yang baik memang perlu dijaga. Tetapi jika sampai membazir dan melampau, ia merupakan suatu yang dilarang dalam Islam. Ini kerana dalam Surah al-Isra’ ayat 26-27, ALLAH melarang perbuatan membazir malah menyifatkan orang yang membazir itu sebagai sahabat syaitan.

Antara bentuk pembaziran yang berlaku pada hari ini ialah sikap suka membeli pakaian bagi setiap upacara dan sempena. Malah, telah menjadi budaya di sesetengah tempat kerja, semua kakitangan dikehendaki memakai pakaian yang sama sempena hari-hari tertentu.

Setiap program juga ditetapkan tema masing-masing. Kadangkala pakaian tersebut hanya dipakai untuk program tersebut. Maka makin hari makin bertambah pakaian dalam almari yang pada akhirnya tidak terpakai dan disimpan dalam almari sahaja. Ini kerana untuk program yang sama pada tahun berikutnya akan dibeli lagi dan begitulah seterusnya.

Ada sesetengah orang pula, pakaiannya mesti ikut fesyen semasa. Dengan kemudahan teknologi hari ini di mana semua orang boleh melihat fesyen terkini setiap hari dan mungkin setiap saat, maka akhirnya ia seolah-olah menjadi budaya bagi sesetengah wanita untuk menukar fesyen pakaian setiap bulan, minggu atau mungkin hari.

Suatu yang lebih teruk lagi apabila tujuan si pemakai adalah untuk menunjuk-nunjuk kepada orang dan berbangga dengan pakaian yang dipakainya.

Artikel Berkaitan:

Rasulullah SAW ada memberi amaran kepada mereka yang ada dalam hatinya niat untuk berbangga dan menunjuk-nunjuk dengan sabdanya yang bermaksud: “Barang siapa memakai baju (untuk) kemasyhuran (syuhrah) di dunia, kelak di hari kiamat ALLAH SWT akan memakaikan kepadanya baju kehinaan, kemudian ALLAH SWT mengobarkan api di dalamnya.” (Riwayat Ibn Majah)

Bentuk pakaian syuhrah berdasarkan huraian para ulama ialah pakaian yang menyerlahkan perbezaan ketara daripada yang lain-lain sehingga menarik perhatian orang yang melihatnya. Ia meliputi pakaian yang cantik dan pakaian yang buruk.

Cuma, pada hari ini, jarang saya nampak orang yang ingin menunjuk-nunjuk pakaiannya yang buruk di media sosial supaya dikatakan zuhud, tetapi sebaliknya ramai yang menayangkan pakaiannya yang cantik dan mengikut fesyen semasa.

Oleh itu, bersederhanalah dalam semua perkara yang kita lakukan. Elakkan diri daripada pembaziran dan menjadi hamba kepada pakaian kerana ia hanya menambah dosa. Lebih baik duit tersebut digunakan untuk membantu golongan memerlukan. Wallahu a’lam.

Telah menjadi budaya di sesetengah tempat kerja, semua kakitangan dikehendaki memakai pakaian yang sama sempena hari-hari tertentu.”

* Dr Shamsiah Mohamad berpengalaman sebagai penyelidik isu-isu kewangan Islam dan Syariah

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!