Adakah PKPB satu kegagalan?

A
A
A

GUSAR! Itu gambaran tepat perasaan ramai rakyat Malaysia pada ketika ini kerana peningkatan kes Covid-19 masih belum menunjukkan tanda akan reda walaupun pelbagai langkah telah diambil oleh kerajaan bagi memutuskan rantaian virus maut itu.

Bermula dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu, kerajaan kemudian melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula 4 hingga 12 Mei yang kemudian dilanjutkan sehingga 9 Jun.

Sempat melalui fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula 10 Jun hingga 31 Ogos, kerajaan melaksanakan kembali PKPB di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya serta Sabah bermula 14 Oktober sehingga 27 Oktober susulan peningkatan kes positif Covid-19.

PKPB itu kemudiannya diperbesarkan pelaksanaannya ke seluruh negara kecuali kecuali Perlis, Pahang dan Kelantan bermula 9 November hingga 6 Disember rentetan Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor dan Sabah yang merekodkan jumlah kes Covid-19 yang tinggi.

Biarpun PKPB kali ini diharap dapat mengurangkan kadar jangkitan sama seperti pelaksanaan PKP, namun melihat kepada laporan harian Kementerian Kesihatan (KKM) ternyata jumlah kes Covid-19 tetap mencecah empat angka hampir setiap hari.

Made with Flourish

Bimbang

Dengan berbaki hanya tiga hari sebelum keputusan diketahui sama ada PKPB bakal ditamatkan atau sebaliknya, timbul persoalan adakah pelaksanaan PKPB gagal menjadi solusi kepada masalah peningkatan berterusan kes Covid-19 di negara ini?

Menjawab persoalan itu, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Rohaizat Yon menegaskan, pelaksanaan PKPB bukan langkah yang gagal kerana sekiranya langkah tersebut tidak diambil, angka jangkitan Covid-19 di Malaysia pasti jauh lebih tinggi.

Artikel Berkaitan:

“Sebagai contoh, pada 10 November lalu, Imperial College meramalkan negara akan berdepan kira-kira 4,413 kes harian, namun kita hanya mencatatkan 869 kes, kadangkala melebihi angka 1,000 kes.

“Ini menunjukkan sekiranya langkah seperti PKPB dan lain-lain langkah yang berkaitan tidak dilaksanakan maka ramalan badan berprestij terbabit mungkin akan menjadi kenyataan,” jelasnya kepada Sinar Harian.

Beliau yang menerima jolokan sebagai Panglima Perang KKM itu memahami kebimbangan rakyat berikutan jumlah kes yang tinggi namun pada masa sama beliau menegaskan bahawa kerajaan melalui pelbagai kementerian dan agensi berkaitan telah dan akan terus mengambil pelbagai langkah perlu bagi menjaga keselamatan rakyat.

“Bagi kluster pekerjaan di kawasan pembinaan dan kilang misalnya, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang disasarkan khusus di lokaliti tersebut akan mengelakkan penularan kepada masyarakat luar,” katanya lagi.

Persoalan sama ada tempoh PKPB perlu dilanjutkan atau tidak, Rohaizat berkata, ia terpulang kepada keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN), namun mungkin terdapat beberapa opsyen yang boleh dipertimbangkan untuk fasa seterusnya.

“Kita ada baki beberapa hari dan MKN akan buat keputusan sama ada sambung atau tidak. Banyak opsyen yang mungkin MKN boleh pertimbangkan. Mungkin sambung PKPP di seluruh negara atau mungkin juga di kawasan tertentu dibuat PKPB atau di lokaliti tertentu seperti penjara atau kilang dibuat PKPD bergantung kepada analisis dan situasi terkini,” katanya lagi.

Rohaizat menambah, di sebalik usaha memerangi Covid-19, perkara paling utama adalah mengimbangkan antara ‘hidup’dan ‘kehidupan’.

“MKN akan mempertimbangkan opsyen yang terbaik untuk mengimbangi antara langkah melawan Covid-19 dan menjaga ekonomi negara,” tegas beliau.

Sesungguhnya, pandemik global yang telah menjangkiti lebih 63 juta penduduk dunia itu bukan sahaja menagih nyawa malah turut melumpuhkan sektor ekonomi.

Ia sekali gus memberi impak terhadap survival rakyat dan kerana itu adalah amat penting bagi negara mencari mekanisme terbaik mengatasi penularan Covid-19.

Warga asing

Menurut Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Jabatan Mikrobiologi Perubatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Malina Osman, pelaksanaan PKPB adalah satu keputusan untuk mengimbangi keperluan mengekang wabak dan keperluan untuk meneruskan aktiviti ekonomi.

“Tidak dinafikan bahawa PKP sepenuhnya seperti yang dilaksanakan pada Mac dan April lalu adalah langkah terbaik tetapi pendekatan sedemikian menyebabkan kerugian sangat besar kepada masyarakat dan negara,” ujar Malina kepada Sinar Harian.

Malina yang turut bersetuju pelaksanaan PKPB dan langkah-langkah lain yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan pada masa ini tidak boleh disimpulkan sebagai gagal berkata, rakyat tidak perlu berasa terlalu bimbang dengan jumlah kes yang banyak kerana selagi semua pihak patuh dan melaksanakan langkah-langkah pencegahan, wabak akan dapat dikawal.

“Sebahagian besar kes di Selangor misalnya melibatkan kluster pekerja warga asing dan majoriti mereka ditempatkan secara berasingan daripada masyarakat keseluruhan sementara penularan di peringkat komuniti pula boleh dielakkan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP),” katanya

Malina menegaskan, PKPB perlu disertai dengan komitmen masyarakat sama ada warganegara dan warga asing, pekerja, pihak industri, ahli politik serta semua mereka yang merupakan pemegang taruh dalam negara.

“Mengharapkan PKPB sahaja tanpa penglibatan setiap pemegang taruh tersebut umpama melaksanakan pencegahan ‘atas kertas’,” tegas Malina.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!