Umat Islam bimbang status halal daging

No Image Caption
A
A
A

[LAPORAN KHAS] RATA-RATA rakyat di negara ini bimbang dengan lambakan daging sejuk beku tidak halal berada di pasaran tempatan berikutan kegiatan kartel menyeludup masuk daging sejuk beku dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina yang kemudiannya dicampur dengan daging halal sebelum dijual.

Mereka berpendapat aktiviti menyeludup masuk daging sejuk beku tidak halal tidak sepatutnya berlaku kerana perkara ia melibatkan soal makanan halal dan haram yang sangat penting bagi umat Islam khususnya di negara ini.

Guru Kelas Al-Quran Dan Fardhu Ain (KAFA), Noor Syamsheila Adira Mohamad Haris, 24, berkata, kegiatan itu kemungkinan sudah lama berlaku tanpa disedari orang ramai.

Dia mengakui mulai rasa takut dan ragu-ragu untuk membeli daging sejuk beku di pasar raya susulan pembongkaran isu tersebut di Sinar Harian.

“Namun setelah saya membaca laporan mengenai isu ini, saya akan lebih berhati-hati dan mengelak daripada membeli daging sejuk beku yang tiada logo halal yang disahkan,” katanya.

Bagi Muhd Shahmil Azli, 30, dia merasakan bahawa perkara seperti ini tidak wajar berlaku kerana ia melibatkan soal halal dan haram bagi umat Islam.

“Sebagai orang Islam, kita tidak boleh ambil sambil lewa perkara ini kerana ia melibatkan makanan yang kita makan dan akan menjadi sebahagian daripada darah daging.

“Tindakan tegas perlu diambil terhadap pihak yang terlibat dalam jenayah berkenaan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, peniaga daging di Pasar Moden Seksyen 6 di sini, Mohd Amran Thazuddin, 43, berkata, dia sentiasa memastikan bekalan daging diterima itu datang daripada pembekal yang sah.

“Jika saya was-was atau mendapati daging sejuk beku itu tidak diiktiraf halal oleh Jakim, saya akan bertindak menghantar semula bekalan daging itu dan membuat laporan kepada pihak berkuasa,” katanya.

Seorang lagi peniaga daging, Sulong Mohd, 66, berkata, perniagaannya masih tidak terjejas dengan isu berkenaan kerana pembeli masih percaya terhadap daging yang dijual.

“Saya yakin dengan bekalan daging yang dijual oleh pembekal yang merupakan rakan baik saya. Malah saya juga sudah lama berurusan dengannya,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Kartel tukar daging haram jadi halal

Awas, aktiviti seludup masuk daging lembu tidak halal

Maqis tubuh pasukan khas siasat penyeludupan daging sejuk beku

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!