'Dah 2020 tapi masih guna jalan berlopak...'
KUBANG PASU - Kira-kira 40 penduduk daripada tujuh buah keluarga di Kampung Hutan Palas, Kodiang di sini memohon kerajaan membina jalan tar di kawasan rumah mereka untuk kemudahan serta keselamatan penduduk.
Salah seorang penduduk, Mohd Nizam Ahmad, 38, berkata, laluan utama mereka itu tidak berturap serta berlopak dan ditakungi air apabila hujan.
Menurutnya, dia bersama penduduk kampung pernah menghantar beberapa kali permohonan jalan baharu kepada pihak berkaitan, namun sehingga kini keadaan jalan itu masih tidak berubah.
"Pelbagai alasan kami terima. Antaranya tiada peruntukan untuk membuat jalan baharu sehinggakan penduduk kampung terpaksa mengeluarkan duit sendiri untuk membeli batu bagi menambun jalan yang rosak dan berlopak ini," katanya ketika ditemui di sini semalam.
Menurutnya, keadaan itu mengancam keselamatan penduduk kerana mereka seringkali terlibat dalam kemalangan yang berpunca daripada keadaan jalan berkenaan.
Selain masalah jalan, katanya, mereka juga menghadapi masalah bekalan air bersih.
"Saya dan empat buah rumah jiran di sini tidak dapat bekalan air bersih. Bayangkan berpuluh-puluh tahun lalu kami hanya bergantung dengan air telaga sahaja.
"Air dari telaga ini kami dapat melalui pam air yang dipasang sendiri oleh penduduk. Kami terpaksa kumpul duit keluarkan modal untuk memasang pam air ini demi memudahkan ahli keluarga mendapatkan bekalan air bersih," katanya.
Menurutnya, sekitar tiga tahun lepas, terdapat kerja-kerja pemasangan paip untuk bekalan air bersih di bawah Bekalan Air Luar Bandar di situ.
"Bagaimanapun, sehingga kini ia masih terbengkalai. Paip-paip ini ada tetapi air bersih tidak ada. Saya pun tidak pasti sebab apa tak siap," katanya.
Seorang lagi penduduk, Saodah Hanapi, 58, berkata, dia menggunakan jalan berkenaan sejak berkahwin dan menetap bersama suaminya di kampung itu kira-kira 38 tahun lalu.
"Sehingga masuk tahun 2020 pun, jalan masih sama, tidak ada jalan baharu, jalan tidak elok. Saya pun tidak pasti kenapa susah sangat penduduk kampung di sini hendak dapat jalan bertar sedangkan kampung berdekatan semuanya sudah ada jalan yang elok dan bertar," katanya.
Sementara itu, Exco Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Insan dan Pembasmi Kemiskinan Kedah, Datuk Siti Ashah Ghazali berkata, projek menaik taraf jalan baharu sepanjang 300 meter di kampung itu akan dilaksanakan dalam masa terdekat.
Bagaimanapun, katanya, ia akan melalui beberapa proses terlebih dahulu termasuk dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Penilaian dan Pemilihan Projek (JPPP) Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) sekiranya menepati skop dan kriteria Jalan Perhubungan Desa (JPD).
Dalam pada itu, Mengenai masalah bekalan air bersih pula, Exco Bekalan Air dan Sumber Air dan Tenaga Kedah, Datuk Suraya Yaacob berkata, masalah teknikal menjadi punca empat buah rumah di kampung itu masih tiada bekalan air bersih.
Katanya, kontraktor telah memasang paip hingga ke 'stand meter' yang ditetapkan KPLB. namun penduduk tidak membuat permohonan kepada Syarikat Air Darul Aman (SADA) untuk memasang meter bagi penyambungan ke rumah mereka.
"Oleh itu, saya meminta penduduk yang terjejas ini supaya pergi ke Pejabat Pusat Khidmat Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Siputeh sebagai pemudah cara untuk membantu penduduk terbabit dalam urusan permohonan memasukkan meter berkenaan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!