Sikap malas punca gagal patuh SOP

Mohamad Roy (kiri) turun padang meninjau operasi pematuhan SOP di premis perniagaan makanan sekitar jajahan ini malam tadi.
Mohamad Roy (kiri) turun padang meninjau operasi pematuhan SOP di premis perniagaan makanan sekitar jajahan ini malam tadi.
A
A
A

PASIR MAS - Sikap malas segelintir individu di daerah ini menjadi penyebab mereka dikompaun apabila gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang dikuatkuasakan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dalam usaha memutuskan rantaian pandemik Covid-19.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohamad Roy Suhaimi Sharif berkata, kebanyakan individu tersebut memahami dan tahu SOP yang perlu dipatuhi, namun mereka malas untuk berbuat demikian kerana beranggapan normal baharu sukar dilaksanakan.

"Antara sikap itu ialah malas memakai pelitup muka dan menulis nama pada buku kedatangan atau menggunakan aplikasi MySejahtera.

"Sedangkan mereka tahu perkara itu perlu dipatuhi dalam normal baharu kehidupan pada hari ini," katanya kepada pemberita.

Terdahulu Mohamad Roy turun padang meninjau operasi pematuhan SOP di premis perniagaan makanan sekitar jajahan ini malam tadi.

Operasi bersepadu itu turut melibatkan kerjasama dari Jabatan Kesihatan Daerah Pasir Mas, Majlis Daerah Pasir Mas, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pasir Mas dan Jabatan Sukarelawan Rakyat (Rela) Pasir Mas.

Menurutnya, orang ramai termasuklah pemilik premis perlu mematuhi normal baharu itu dalam usaha melawan dan memutuskan rantaian Covid-19.

Beliau berkata, walaupun normal baharu itu agak sukar untuk dilaksanakan, namun orang ramai perlu patuh SOP demi nyawa mereka.

Artikel Berkaitan:

"Hasil tinjauan dan pemerhatian yang dijalankan kita dapati 90 peratus rakyat di daerah ini patuh kepada SOP.

"Namun masih ada yang mengambil mudah perkara tersebut dan akhirnya mereka berdepan kompaun," katanya.

Mohamad Roy berkata, sepanjang tempoh perlaksanaan PKPB bermula 23 November lalu hingga semalam sebanyak 27 kompaun melibatkan kegagalan pematuhan SOP telah dikeluarkan oleh pihak polis bawah Akta 342.

Katanya, sepanjang tempoh itu juga sebanyak 25 kompaun gagal mematuhi SOP termasuklah merokok di tempat awam telah dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan Daerah Pasir Mas.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!