Perodua jual 20,100 kenderaan pada Januari

Perodua Aruz dilancarkan bulan lalu. - Foto Bernama
Perodua Aruz dilancarkan bulan lalu. - Foto Bernama
A
A
A

PERODUA menjual kira-kira 20,100 kenderaan pada bulan pertama 2019, termasuk 1,025 unit kenderaan utiliti sukan yang baru dilancarkan, Aruz, pada hari terakhir Januari.

Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn Bhd, Datuk Dr Zahari Husin berkata walaupun agak lewat mendaftarkan Aruz, pembuat kereta nasional kedua itu berjaya memaksimumkan penyerahan model itu dalam masa yang singkat demi memanfaatkan cuti perayaan Tahun Baharu Cina yang panjang.

"Sementara menunggukan angka rasmi dari Persatuan Automotif Malaysia, Perodua menganggarkan penguasaan pasaran Perodua bagi Januari 2019 sebanyak 41.7 peratus, yang merupakan pertumbuhan 9.2 peratus daripada 18,400 kenderaan yang dijual pada Disember 2018," katanya dalam kenyataan hari ini.

Jualan untuk Januari 2019 adalah 13.6 peratus lebih tinggi berbanding 17,700 unit yang dijual pada bulan yang sama tahun lepas.

Walaupun Aruz telah diterima dengan baik dengan 8,000 tempahan setakat ini, Zahari berkata model lain juga turut mendapat respon yang baik, dengan lebih daripada 19,000 unit didaftarkan pada Januari.

"Permintaan tinggi ke atas Aruz telah meningkatkan tempoh menunggu, terutama bagi varian AV. Kami melakukan yang terbaik untuk mengurangkan tempoh menunggu ini," katanya.l

Mengenai permintaan ke atas model lain, Zahari berkata jualan amat memberangsangkan dengan Perodua Myvi masih mengungguli jualan dari segi jualan dengan lebih 8,400 unit dijual pada Januari manakala model-model lain mendahului segmen masing-masing, dengan jualan melebihi 5,500 unit, 3,400 unit dan 1,600 unit untuk Axia, Bezza dan Alza. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!