Rela bermalam dalam banjir demi 32 kucing
KUALA TERENGGANU - Dua beradik di kawasan perumahan Bukit Kecil di sini rela bermalam dalam banjir kerana bimbang 32 ekor kucing peliharaan mereka dihanyutkan air.
Azmi Omar, 38, berkata, rumah mereka dinaiki air kira-kira satu meter susulan hujan lebat berterusan sejak petang semalam.
Menurutnya, sebaik pulang dari tempat kerja petang semalam, beliau mendapati air sudah mencurah masuk ke dalam rumah.
"Bila sampai di rumah, ada beberapa ekor kucing berada di dalam air. Mujurlah saya sempat selamatkan, bimbang juga kalau ada yang lemas.
"Bermula jam 10 malam, air mula masuk ikut depan rumah. Saya dan kakak tidak sempat selamatkan apa-apa, cuma sempat alihkan kucing," katanya.
Sementara itu, kakaknya, Azila Omar, 45, berkata, hampir 95 peratus barangan elektrik dan perabotnya rosak termasuk televisyen, katil dan almari.
Katanya, walaupun kerugian hampir RM10,000, namun beliau bersyukur kesemua kucing mereka selamat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!