Bayi lahir selepas 27 tahun
NASHVILLE - Bayi berusia sebulan Molly Everette Gibson mencipta sejarah selepas selamat dilahirkan dengan menggunakan embrio yang dibekukan lebih 27 tahun lalu di Tennessee.
Menerusi laporan CNN, embrio berkenaan dibekukan pada Oktober 1992 daripada seorang penderma.
Pasangan Tina dan Benjamin Gibson menerima embrio beku itu yang kemudian dipindahkan ke rahim Tina pada 10 Februari lalu dan dilahirkan dengan berat 2.7 kilogram.
Menurut kakitangan penyelidikan di Perpustakaan Perubatan Preston Universiti Tennessee, Amerika Syarikat (AS), embrio itu paling lama dibekukan.
Sebelum ini, kakak kepada Molly, iaitu Emma Wren Gibson juga dilahirkan menggunakan kaedah yang sama pada 2017.
Ketika itu, Emma juga mencipta sejarah selepas embrio dibekukan selama 24 tahun dan kini tiba giliran adiknya hingga mereka dikenali 'adik-beradik genetik.'
Pengarah dan Ahli Embriologi Makmal Pusat Pendermaan Embrio Kebangsaan (NECD), Carol Sommerfelt berkata, ketika Tina dan Benjamin kembali untuk menjalani pemindahan embrio beliau gembira kerana masih ada embrio daripada penderma sama yang mendermakan embrio Emma.
"Ini jelas menunjukkan teknologi yang digunakan bertahun-tahun dapat memelihara embrio itu untuk tempoh jangka panjang dan melahirkan seorang bayi comel," katanya.
Gibson memberitahu, kehadiran Molly membawa kegembiraan buat mereka ketika negara dilanda pandemik Covid-19.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!