Hilang selera makan lepas kena tegur penguat kuasa
PASIR MAS - Seorang wanita warga emas hilang selera makan selepas terkejut melihat sekumpulan anggota penguat kuasa menjalankan pemeriksaan mengejut di sebuah premis di Tendong di sini malam tadi.
Warga emas berkenaan menerima amaran daripada anggota penguat kuasa supaya tidak lagi berkunjung ke premis perniagaan atau pasar raya.
Mengikut prosedur operasi standard (SOP) golongan berisiko terutama warga emas tidak dibenarkan untuk berkunjung ke lokasi tersebut dibimbangi mudah terdedah dengan pandemik Covid-19.
Peraturan itu juga turut terpakai kepada kanak-kanak yang berusia bawah 12 tahun.
Operasi bersepadu pematuhan SOP itu melibatkan Polis, Jabatan Kesihatan Daerah Pasir Mas, Majlis Daerah Pasir Mas, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pasir Mas dan Jabatan Sukarelawan Rakyat (Rela) Pasir Mas.
Turut hadir, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohamad Roy Suhaimi Sharif.
Terdahulu, operasi bersepadu itu melibatkan beberapa premis perniagaan makanan di sekitar Pasir Mas.
Tinjauan Sinar Harian ketika operasi bersepadu itu dilakukan masih ada dalam kalangan orang ramai mengambil mudah pematuhan SOP.
Sebanyak empat kompaun dikeluarkan kepada orang ramai dalam operasi tersebut.
Sementara itu, seorang lelaki berusia 40 tahun dikompaun kerana gagal memakai pelitup muka.
Ketika kejadian lelaki berkenaan berada di sebuah kedai makan yang hanya terletak di hadapan rumahnya.
Ketika 'diserbu' anggota penguat kuasa, lelaki itu memberikan alasan dia terlupa untuk memakai pelitup muka.
Operasi selama dua jam tersebut, memperlihatkan rata-rata orang ramai yang dikenakan kompaun memberikan alasan mereka lupa untuk pakai pelitup muka, menulis nama atau menggunakan aplikasi MySejahtera.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!