Inspektor polis direman empat hari kes salah guna jawatan

Seorang pegawai polis di Pulau Pinang direman empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan kes salah guna jawatan untuk kepentingan diri pada penghujung September lepas.
Seorang pegawai polis di Pulau Pinang direman empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan kes salah guna jawatan untuk kepentingan diri pada penghujung September lepas.
A
A
A

ALOR SETAR - Seorang pegawai polis berpangkat inspektor yang bertugas di Pulau Pinang direman empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan kes menyalahgunakan jawatannya untuk kepentingan diri pada penghujung September lepas.

Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd Manap berkata, perbuatan berkenaan disyaki dilakukan lelaki berumur 33 tahun itu untuk menjatuhkan reputasi seorang lagi pegawai polis berpangkat inspektor dengan tuduhan berkhalwat.

"Suspek bersama seorang lagi pegawai polis berpangkat inspektor dan seorang lelaki awam dipercayai terlibat dalam kes ini yang bersubahat dengan seorang gadis berusia 16 tahun untuk memerangkap inspektor terbabit.

"Gadis ini diminta untuk membantunya memerangkap inspektor tersebut untuk ke sebuah bilik hotel di Georgetown, Pulau Pinang dan apabila mangsa berdua-duaan, suspek memaklumkan kepada pejabat agama untuk membuat serbuan kesalahan khalwat," katanya dalam kenyataan hari ini.

Shaharom Nizam berkata, suspek dipercayai menjanjikan wang sebanyak RM3,000 dan tidak akan mengambil tindakan terhadap gadis itu kerana pernah ditahan berkaitan pil ekstasi sebagai balasan untuk tindakan sedemikian.

Beliau berkata, suspek ditahan di pejabat SPRM kelmarin (1 Disember) pada jam 7.21 malam dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 16 (b)(A) Akta SPRM 2009, manakala inspektor berusia 30 tahun bersama lelaki berusia 32 tahun yang turut ditahan SPRM dilepaskan dengan jaminan SPRM.

Inspektor dan lelaki yang dilepaskan itu ditahan secara berasingan yang masing-masing ditahan kelmarin dan semalam di pejabat SPRM Sungai Petani pada jam 7.35 malam dan 1 tengah hari. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!