Nasi dagang jadi juadah Tahun Baharu Cina
MARANG - Kebiasaannya nasi dagang, laksa dan nasi minyak sinonim dengan masyarakat Melayu, namun di Terengganu ia turut dijadikan juadah masyarakat Cina ketika sambutan Tahun Baharu Cina.
Hidup dengan dikelilingi masyarakat Melayu menjadikan lebih 3,000 kaum Cina daripada lebih 1 juta rakyat Terengganu di negeri ini sebati dengan masakan Melayu dalam kehidupan seharian mereka.
Bagi Adun Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong, rata-rata kaum Cina sudah biasa dengan masakan Melayu sehinggakan di musim perayaan mereka juga juadah itu menjadi pilihan selain masakan Cina.
“Apabila ditanya, raya tahun ini wak makang mende? Dia jawab, wak nasik dagang, laksang, nasik minyok dan lain-lain lagi makanan masakan Melayu selain makanan dari masakan Cina semestinya,” katanya.
Sulaiman sebelum itu turun padang bertemu masyarakat Cina di kawasan Perumahan Wakaf Tapai sambil menyampaikan sumbangan buah limau sempena Tahun Baharu Cina.
Menurutnya, masyarakat Cina di negeri ini terutama di kawasan Dun Pengkalan Barangan sentiasa menghormati antara satu sama lain sebagai manusia yang hidup di atas muka bumi yang sama.
“Tiada istilah rasis di sini seperti terjadinya di tempat-tempat lain. Perkara biasa yang mereka lakukan ialah makan, minum dan duduk semeja bersama sambil sembang, gurau senda dengan gelak tawa.
“Inilah sedikit gambaran harmoni aman dan sejahteranya masyarakat kita yang berbilang kaum di sini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!