Dera warga asing: Siasatan anggota tentera diteruskan
PORT DICKSON - Siasatan kes terhadap seorang anggota tentera yang didakwa mengarahkan seorang pekerja asing berguling seperti yang tular di media sosial semalam masih diteruskan.
Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, beberapa tindakan awal telah pun dilaksanakan pihaknya dan dalam masa yang sama menegaskan setiap anggota yang terlibat dalam apa-apa penugasan tidak akan bertindak di luar batasan.
"Sebaliknya anggota akan menjalankan tugas seperti yang diarahkan demi menjaga keselamatan negara dan awam. Kami menyeru kepada masyarakat atau mereka yang berada dalam tempoh kuarantin ini supaya memberi kerjasama kepada pihak berkuasa.
"Saya tahu anggota ini bertindak sedikit melebihi batas dan saya minta maaf mengenai perkara itu... tetapi pada masa sama anggota tentera ini bukan bertindak sesuka hatinya... kalau bertindak sesuka hati sudah pasti banyak kes melibatkan penderaan berlaku," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai rakaman video berdurasi 19 saat yang tular semalam yang memaparkan seorang lelaki memakai seluar celoreng ATM didakwa mengarahkan seorang pekerja asing berguling di atas tanah dalam kejadian yang dipercayai berlaku di Klang, Selangor.
Individu warga asing berkenaan yang dikatakan pekerja kilang di kawasan itu, didakwa diarahkan berbuat demikian setelah melanggar perintah kuarantin yang ditetapkan.
Dalam pada itu, beliau meminta masyarakat agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan dan tidak menimbulkan sebarang provokasi terhadap petugas keselamatan.
Terdahulu, Affendi menyempurnakan Perbarisan Pembubaran dan Pemakaian Pingat Perkhidmatan Negara Bangsa-Bangsa Bersatu (PNBB) Malaysian Battalion (MALBATT) 850-7 kepada 850 anggota dan pegawai yang baru pulang daripada misi di Lubnan.
Acara berkenaan diadakan di Pusat Latihan Asas Tentera Darat di sini. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!