Pemuda Pas sokong undi percaya MB Perak
IPOH - Pemuda Pas Perak menyokong usul undi percaya Menteri Besar Perak yang dikemukakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Pengkalan Baharu, Datuk Abd Manaf Hashim untuk dibentangkan di dalam Sidang DUN Perak.
Ketuanya, Ahmad Faisal Mohd Puhait berkata, usul ini adalah bukti semangat setiakawan di antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), UMNO dan Pas di negeri ini kekal utuh.
Menurutnya, tindakan itu sekaligus menafikan suara sumbang yang mengatakan ahli politik Melayu-Islam selalu bergaduh dan tidak mampu bersama.
"Pemuda Pas Perak juga mengucapkan tahniah dan syabas atas tindakan UMNO kerana berani mengemukakan usul ini dan secara tidak langsung membuka ruang kepada semua ADUN untuk membuat pengundian secara ikhlas dalam mendokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).
"Ruang ini akan membuktikan peranan dan kuasa undi setiap ADUN untuk menyatakan pendirian masing-masing. ADUN yang ikhlas dan kasihankan rakyat pasti akan mengutamakan agenda rakyat bukannya peribadi dan kepentingan parti," katanya dalam kenyataan media hari ini.
Ahmad Faisal berkata, Pemuda Pas Perak yakin langkah yang diambil oleh wakil UMNO itu sebagai usaha membuktikan kepada rakyat dan seluruhnya bahawa kerajaan PN Perak merupakan kerajaan yang stabil dan kukuh.
Menurutnya, dalam keadaan negara yang sedang berdepan ancaman Covid-19, rakyat memerlukan sebuah kerajaan yang kukuh untuk menangani wabak ini.
Sehubungan itu katanya, Pemuda Pas Perak mengharapkan kesatuan ummah dapat dimulakan oleh parti dominan Melayu-Islam dan seterusnya diperluas kepada warganegara yang cintakan perdamaian serta tidak ekstrem dalam memacukan kesejahteraan negara.
ARTIKEL BERKAITAN Apa nasib Menteri Besar Perak?
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!