'Ahmad Faizal akan ke Kabinet'
IPOH - Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Perak melihat usul undi percaya terhadap Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak merupakan usaha untuk membawa pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu ke Kabinet.
Wakil Pejuang Perak, Mior Nor Haidir Suhaimi berkata, usul itu sebenarnya bukanlah disebabkan UMNO memberi tekanan dengan menggerakkan usaha menjatuhkan orang nombor dua di dalam Bersatu itu sebaliknya menjadi jalan keluar kepada Ahmad Faizal untuk menjawat jawatan di peringkat Persekutuan.
Menurutnya, Ahmad Faizal yang juga Ahli Parlimen Tambun dilihat bersedia untuk mengorbankan jentera politik serta akar umbi Bersatu Perak demi merealisasikan impian menyertai Kabinet Perdana Menteri, Tan Sri Muyiddin Yassin.
"Jika ini terjadi, maka Kabinet Muhyiddin yang sebegitu besar gelembungnya akan bertambah kembang dan perbelanjaan menanggung Kabinet itu pasti tambah membebankan.
"Sandiwara mereka ini jelas memperlihatkan betapa setiap saat memerintah kerajaan, mereka gunakan untuk berpolitik dan mencapai kepentingan diri," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Sebelum ini, Speaker DUN Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid mengesahkan bahawa usul tersebut akan dimasukkan di dalam aturan mesyuarat Sidang DUN Perak kerana mematuhi peraturan Dewan.
ARIKEL BERKAITAN: 'Usul undi percaya bukan luar biasa'
Menurutnya, percaturan berkenaan terkait secara langsung selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dua bulan yang lalu apabila UMNO terpaksa melepaskan jawatan Ketua Menteri Sabah kepada Bersatu.
"Ketika itu telah kedengaran khabar bahawa satu kompromi telah tercapai. Kompromi itu ialah UMNO bersetuju menyerahkan kerusi Ketua Menteri Sabah kepada Bersatu dengan syarat kerusi Menteri Besar Perak harus dipulangkan kepada UMNO.
"Pada ketika itu, ramai yang melihat khabar tersebut sebagai spekulasi politik yang sering timbul apabila berlaku krisis tetapi hari ini, ia semakin menjadi kenyataan," katanya.
Sementara itu, Pejuang Perak menyifatkan tindakan parti-parti itu sebagai hipokrit kerana selama ini mereka bersungguh-sungguh meminta semua pihak untuk kurangkan berpolitik untuk memberi fokus kepada menangani pandemik Covid-19.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!