Tipu tanah pusaka: Suri rumah diarah pulang RM95,000

Mohd Zubir (kanan) sedang berbincang sesuatu dengan ahli keluarga daripada lima beradik (plaintif) di luar kamar Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu hari ini.
Mohd Zubir (kanan) sedang berbincang sesuatu dengan ahli keluarga daripada lima beradik (plaintif) di luar kamar Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu hari ini.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - [DIKEMASKINI] Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu hari ini mengarahkan seorang suri rumah memulangkan semula RM95,000, iaitu hasil jualan dua lot tanah pusaka milik lima beradik yang dijual sebelum ini tanpa pengetahuan.

Manakala, mahkamah membatalkan pendaftaran hak milik empat lot lagi tanah pusaka arwah bapa lima beradik itu atas nama wanita tersebut dan mengarahkan kesemuanya dipulangkan semula kepada mereka.

Hanisah Mohd, 49, turut diarahkan membayar lain-lain kos berjumlah RM15,000 iaitu termasuk ganti rugi am, ganti rugi teruk, ganti rugi teladan dan kos guaman semua plaintif.

Hakim Datuk Zainal Azman Ab Aziz membuat keputusan itu selepas mendapati Hanisah selaku defendan melakukan penipuan dalam urusniaga menjual dua lot tanah pusaka milik kelima-lima beradik itu tanpa pengetahuan.

Defendan didapati melakukan penipuan itu dengan cara menipu tandatangan tiga daripada mereka semasa proses jual beli tanah di Kemasik, Kemaman.

Jabatan Kimia turut mengesahkan kesemua tandatangan yang dibuat di setiap dokumen jualan tanah berkenaan adalah palsu.

Sebelum ini, Muhazian Mohd, 41, juga mewakili Mohd Kamal Mohd yang sudah meninggal dunia, Mohd Zainuddin Mohd, 34, Mohd Hairul Nizam Mohd, 29, dan Nor Azahar Mohd, 51, selaku plaintif, memfailkan pernyataan tuntutan menerusi Tetuan Mohd Zubir Embong @ Associates dan Saiffuddin Othman.

Pernyataan difailkan pada 17 Januari tahun lalu di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu yang mengandungi sembilan tuntutan itu mendapat persetujuan daripada Hakim Datuk Zainal Azman yang menghakimi tuntutan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Dalam tuntutan tersebut, plaintif-plaintif turut menamakan Jabatan Ketua Pengarah Tanah Dan Galian, selaku defendan kedua.

Mahkamah bersetuju dengan kesemua tuntutan dibuat antaranya melibatkan bayaran kerugian jualan tanah pusaka dan kos guaman semua plaintif.