Dugaan bertimpa, peniaga terpaksa tanggung rugi
KUALA TERENGGANU - Belum pun reda impak Covid-19, seramai 20 peniaga di Pasar Besar Kedai Payang tempat letak kereta (TLK) terpaksa pula menanggung kerugian ekoran banjir yang melanda kawasan pusat bandar, di sini malam tadi.
Seorang peniaga, Azahar Jaafar, 49, berkata, antara barangan yang rosak ialah stok pakaian baharu, kain pelikat, kain batik dan sejadah yang disimpan pada bahagian rak paling bawah di premis perniagaannya.
"Saya dapat tahu air memasuki premis ini jam 10 malam tadi. Dalam jam 1.30 pagi saya sampai di sini air masih naik lagi dengan kedalaman kira-kira satu meter.
"Waktu tu saya tak berani lagi untuk buka pintu premis sebab bimbang lebih banyak air masuk dan banyak lagi barang-barang yang akan rosak.
"Jadi, saya tunggu sehingga pagi ini untuk lihat situasi. Saya anggar kerugian sebanyak RM30,000 melibatkan 1,000 barangan," katanya ketika ditemui di Pasar Payang, hari ini.
Azahar berkata, beliau tidak menjangka hujan yang berlarutan sejak petang semalam menyebabkan paras air naik mendadak dalam tempoh singkat.
"Sepanjang 20 tahun berniaga, semalam adalah paling buruk selain kejadian banjir pada tahun 2012. Tetapi pada waktu itu air naik hanya 0.3 meter.
"Selepas ini saya akan lebih berhati-hati selagi musim tengkujuh belum habis. Saya akan lihat sama ada akan bawa pulang barang-barang atau bina rak atau para untuk letak barang-barang di tempat yang lebih tinggi," katanya.
Seorang lagi peniaga, Arif Mohd, 37, berkata, banyak barangan yang rosak kerana ditenggelami air walaupun sudah meletakkan barang-barang pada ketinggian 0.3 meter.
"Air mula naik jam 10 malam dari arah stesen bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), tak sampai dua minit air sudah mencecah ke paras paha.
"Waktu itu saya tak sempat buat apa-apa semua barangan yang di bahagian bawah di dalam kedai tenggelam.
"Saya agak pelik sebab sebelum ini sepanjang 30 tahun saya berniaga di sini tak pernah berlaku kejadian macam ini terutama air naik mendadak. Mungkin saliran air tersumbat," katanya.
Arif berkata, beliau menjangka kerugian dialami mencecah RM130,000 bagi tiga buah kedai.
Katanya, barangan yang rosak seperti songkok, kopiah, kain batik, kain pelikat dan pakaian akan dibersihkan dan disumbangkan kepada mereka yang memerlukan.
"Kita akan kumpul barangan yang rosak, mana boleh guna kita akan bersihkan dan yang rosak kita akan letakkan di tempat yang sesuai.
"Kalau ada yang masih elok kita mungkin akan jual pada harga rendah," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!