Teng Chang Khim umum bakal undur dunia politik
SHAH ALAM - ADUN Bandar Baru Klang, Datuk Teng Chang Khim memberi bayangan akan mengundurkan diri dalam dunia politik selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri Selangor kelak.
Beliau yang juga Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana (IKS) berkata, dirinya akan bersara setelah hampir 25 tahun berkhidmat kepada masyarakat.
"Saya menempuhi perjalanan yang begitu lama dalam dunia politik, saya juga sudah menyumbang sebahagian besar daripada hidup saya dengan berkhidmat kepada rakyat.
"Dari menjadi ahli termuda hingga yang paling kanan, saya telah berada di Dewan Undangan Negeri Selangor selama 25 tahun. Saya terpilih di kawasan Bukit Gasing pada tahun 1995 dan ditukar untuk mewakili Bandar Klang pada tahun 1999, nama kawasan tersebut kemudiannya ditukar menjadi Sungai Pinang dan kemudian menjadi Bandar Baru Klang sekarang dan saya terus mewakili rakyat di negeri ini sehingga masa ini," katanya menerusi kenyataan yang dimuat naik dalam Facebook rasminya hari ini.
Katanya, sekarang ini ada ramai bakat-bakat baharu dan berkebolehan dalam DAP yang boleh mengisi tempatnya kini.
“Saya dengan kemampuan yang ada tanpa henti menyumbang sebaik mungkin untuk membantu membina negara ini, terutama Selangor, dan saya serahkan kepada rakyat dan sejarah untuk menilai apa yang saya lakukan," katanya.
Menerusi kenyataan sama, beliau turut mengumumkan tidak akan bertanding pada pilihan raya akan datang, dan tidak akan menyertai pemilihan jawatankuasa eksekutif pusat partinya tahun ini dan jawatankuasa DAP Selangor kelak.
Chang Khim sebelum ini menjadi Speaker DUN Selangor mulai 22 Mac 2008 setelah Pakatan Rakyat menang dalam Pilihan Raya Umum 2008.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!